Rumah mayat hospital Lembah Klang ‘sesak’

at

Rumah mayat hospital Lembah Klang ‘sesak’. Mayat tak dituntut serta proses pengeluaran yang perlahan mmburukkan lagi masalah kepadatan di rumah mayat hospital di Lembah Klang, menurut sumber yang tahu tentang perkara itu.

Dengan angka korban akibat wabak Covid-19 terus meningkat, Malaysiakini difahamkan beberapa pegawai kesihatan berharap akan ada perubahan dasar untuk membantu mereka mempercepat proses pengebumian atau pembakaran mayat.

Seorang pegawai kesihatan berpangkat tinggi mendakwa, banyak rumah mayat masih memiliki jenazah yang sudah tersimpan beberapa tahun, antaranya sama ada kerana tiada orang yang menuntutnya atau ia terkait dengan kes undang-undang.

“Kita juga berdepan masalah di mana mayat adalah warga asing, dan ada kedutaan yang kekal dengan prosedur lama dalam soal tuntutan mayat.

“Akibatnya, pengurus mayat perlu menunggu untuk suatu tempoh, secara puratanya seminggu, sebelum mereka mendapat surat pelepasan daripada kedutaan.

“Lebih memburukkan masalah adalah dengan penerbangan yang kian berkurang, mayat yang sudah boleh dituntut kekal disimpan dan menunggu giliran untuk dibawa pulang ke negara asal,” katanya yang enggan dinamakan, kepada Malaysiakini.

Untuk memberi gambaran betapa seriusnya kedaan itu, dia memberikan Hospital Sungai Buloh – hospital utama dalam merawat Covid-19 di Lembah Klang – sebagai contoh.

Pada masa ini, jabatan forensik hospital itu memiliki kapasiti untuk menyimpan 75 mayat di bangunan utamanya, selain tiga kontena sejuk beku sementara.

Dengan kapasiti yang sentiasa hampir penuh, sumber itu berkata 19 mayat adalah warga asing, termasuk beberapa mayat yang tidak dituntut sejak 2015.

Biadap pada Agong, Tok Mat nasihat Ahli Parlimen UMNO jauhkanlah diri

Menurut sumber itu dan beberapa pengurus mayat yang dihubungi Malaysiakini, hospital dan pihak yang terlibat mengurus mayat berdepan masalah dengan beberapa tempat bakar mayat dan tempat pengebumian.

Antaranya ada yang enggan menguruskan mayat yang berkaitan dengan Covid-19, sementara tempat lain yang sanggup menerimanya berdepan masalah kapisiti menyebabkan tempoh menunggu yang lama.

Rafie Zainal, daripada NGO Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), berkata masih ada tapak pengebumian Islam yang enggan menerima jenazah yang bukan penduduk sekitar, manakala yang lain meletakkan had untuk jumlah mayat yang boleh ditanam dalam sehari.

“Jenazah terlalu banyak sehingga sukar untuk pihak berkuasa dan NGO untuk uruskan. Kami sendiri secara puratanya urus 15 jenazah sehari dan 90 peratus adalah mangsa Covid-19.

“Masih berlaku kelambatan walau Sultan Selangor sebelum ini titah kubur-kubur terima jenazah tanpa mengira kariah. Tetapi tempat yang masih degil, tak mahu (terima jenazah) luar kariah,” katanya.

Katanya lagi, kebanyakan jenazah orang Islam di hospital di Lembah Klang kini perlu menunggu satu atu dua hari sebelum dapat dikebumikan.

Malaysiakini difahamkan masalah itu lebih buruk bagi jenazah bukan Islam. Sumber mendakwa hanya segelintir tempat bakar mayat di Lembah Klang yang menerima jenazah mangsa Covid-19.

Pemeriksaan dengan beberapa ejen perkhidmatan pengebumian di Selangor mendapati kebanyakan tempat bakar mayat yang menerima jenazah Covid-19 adalah milik agensi kerajaan, seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Majis Bandaraya Petaling Jaya.

“Ada juga tempat bakar mayat yang dikendali syarikat yang terima mangsa Covid-19 tetapi biasanya tempahan sudah penuh.

“Barisan menunggu panjang, terutama ketika wabak sekarang. Saya juga ada satu jenazah yang sedang tunggu untuk dibakar, tunggu giliran seminggu,” katanya lagi.

Sumber dalam sistem penjagaan kesihatan awam berkata mereka berharap dasar berkenaan pengurusan jenazah akan diubah.

Kata seorang pegawai, kerajaan perlu meletakkan tarikh akhir untuk tuntutan jenazah ketika pandemik.

“Salah satu cadangan adalah untuk benarkan hospital isytihar mayat tak dituntut selepas tiga hari, jadi ia boleh diuruskan untuk pengebumian dengan arahan pengarah hospital. Kebanyakan ahli patologi forensik setuju dengan cadangan ini.

“Untuk menangani masalah jenazah orang bukan Islam, kerajaan patut wajibkan semua tempat bakar mayat terima mangsa Covid-19,” katanya lagi.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan (KKM) dalam responsnya kepada Malaysiakini berkata langkah telah diambil untuk menangani masalah kepadatan di rumah mayat hospital.

Menterinya Dr Adham Baba berkata, pihaknya sedang mendapatkan lebih banyak kontena mayat selain mewujudkan pusat sehenti bagi menguruskan mayat di Kuala Lumpur.

“KKM telah menjangkakan peningkatan kematian Covid-19. Oleh itu antara kesiapsiagaan awal yang telah dilakukan adalah dengan penyewaan dan pembelian kontena mayat untuk beberapa hospital.

“Pada masa ini, di Selangor terdapat tujuh buah kontena yang disewa, dan tiga buah kontena lagi sumbangan MIC. Selain itu, pembelian lapan kontena telah dilakukan di mana pembekalan akan dilakukan secara berperingkat di enam hospital di Selangor,” katanya.

Berkenaan pusat sehenti, Adham berkata ia terletak di Kampung Bharu, Kuala Lumpur, dengan kapasiti menyimpan 225 mayat pada satu masa.

“Pusat ini melalui kolaborasi pelbagai agensi seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, badan-badan keagamaan dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

“Melalui kolaborasi ini, kawasan-kawasan tanah perkuburan untuk pengebumian massa dapat dikenal pasti lebih awal, tempat penyimpanan mayat dengan kapasiti yang lebih besar juga dapat disediakan dan jadual krematorium dapat diaturkan,” katanya lagi. MK

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker