Darurat : Sia-sia pelantikan kami – Asri

Sebaran :

Darurat : Sia-sia pelantikan kami – Asri

Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin menyifatkan pelantikannya dalam Jawatankuasa Khas Bebas Darurat sebagai sia-sia, susulan perkembangan sekitar pembatalan ordinan darurat minggu ini.

Ia selepas pertikaian berhubung pembatalan ordinan darurat seperti yang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyudddin Hassan sebelum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Kata Asri, ini kerana kerajaan telah membuat keputusan untuk membatalkan ordinan darurat “tanpa memerlukan Agong”.

“Sia sia pelantikan kami (dalam) Jawatankuasa Khas Bebas Darurat untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung dengan menamatkan atau meneruskan darurat jika Kabinet boleh buat keputusan membatalkan darurat tanpa memerlukan YDP Agong,” ciapnya hari ini.

Dalam satu ciapan lagi semalam, dia berkata kerajaan perlu menjadi contoh dalam menghormati Perlembagaan Negara, terutama berkenaan kedudukan Agong.

“Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan kerajaan yang ada, maka hormatilah kedudukan baginda. Mengapa banyak sangat menteri yang ‘tersasul’?” soalnya.

Jawatankuasa Khas Bebas Darurat ditubuhkan pada Februari lalu.

Dipengerusikan bekas ketua hakim negara Arifin Zakaria, ia memiliki 18 anggota – termasuk Asri – dan berperanan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong sama ada untuk meneruskan atau menamatkan darurat.

Kenyataan Asri itu hadir selepas Istana Negara mengeluarkan kenyataan memaklumkan rasa “amat dukacita” Yang di-Pertuan Agong terhadap cara Ordinan Darurat dibatalkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menurut kenyataan Istana Negara semalam, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Agong juga amat kecewa apabila ordinan darurat itu tidak dibentang dan dibahaskan seperti dipersetujui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Idrus Harun ketika menghadap baginda pada 24 Julai lalu.

Pada 26 Julai lalu, Takiyuddin mengejutkan Dewan Rakyat dengan mengumumkan bahawa Ordinan Darurat telah dibatalkan sejak 21 Julai.

Menurut kenyataan Istana Negara lagi,, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah juga amat dukacita apabila Takiyuddin mengelirukan Dewan Rakyat dengan kenyataan dibuatnya semasa sidang khas berlangsung.

Kenyataan itu mengesahkan jangkaan banyak pihak bahawa pembatalan ordinan darurat tersebut dibuat sebelum mendapat perkenan Agong.

Bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri (PMO) semalam berkata kerajan sudah menasihatkan Agong berhubung perkara itu dan pembatalan yang dibuat adalah teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang serta perlembagaan negara. Mk

Darurat : Sia-sia pelantikan kami – Asri


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Muhyiddin berundurlah secara terhormat – Najib Razak


Sebaran :

Leave a Reply