Pokok bacang 100 tahun tumbang hempap rumah

Pokok bacang 100 tahun tumbang hempap rumah. : Ribut dan hujan air batu melanda daerah ini semalam bagaikan mimpi ngeri bagi keluarga petani di Kampung Sungai Petai, di sini yang nyaris maut apabila sebatang pokok bacang berusia 100 tahun menghempap sebahagian rumah mereka.

Dalam kejadian pukul 4.45 petang semalam, Wan Mohamed Khozani Wan Yusoff, 58, bersama 10 ahli keluarga terselamat kerana keluar berkumpul di ruang tamu sebelum pokok dengan batang bersaiz sepemeluk orang dewasa itu tumbang dan meranapkan bilik tidur mereka.

Menurut Wan Mohamed Khozani, kejadian itu berlaku dalam tempoh 30 minit dengan tiupan angin kencang luar biasa yang disifatkan belum pernah terjadi sejak 22 tahun tinggal di kampung itu.



“Isteri, Salmiah Abdul Rahman, 60, mengejutkan saya dari tidur apabila melihat keadaan angin yang menggegarkan alang rumah selain bunyi bising ketulan ais yang jatuh dari langit. Saya segera mengarahkan anak dan cucu berada di ruang tamu.

“Sebaik sahaja mereka keluar dari bilik, pokok itu terus tumbang. Saya segera melaungkan azan dan bersyukur mereka sempat keluar dari bilik masing-masing,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Sungai Petai, di sini hari ini.

Dianggarkan hampir 40 buah rumah di sekitar mukim Sungai Petai, Gong Pasir, Gong Cokoh, Gong Kala, Gong Tinggi, Pulau Lima, Tebing Tinggi dan Gong Kua rosak teruk akibat kejadian ribut petir dan hujan air batu tersebut.

Seorang peniaga pasar malam, Wan Mohd. Amin Syafuan Wan Othaman, 38, pula berkata, sebahagian atap ruang bilik tidurnya rosak teruk selepas dihempap dahan pokok mangga yang tumbang dari belakang rumah.



Katanya, ketika kejadian, dia dan isteri berada di pusat bandar untuk membeli barangan dapur dan mereka bersyukur terselamat daripada sebarang kecederaan walaupun sedih melihat rumah rosak teruk.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim ketika meninjau kejadian itu berkata, pihaknya sedang membuat bancian jumlah kerosakan sebenar sebelum menyampaikan bantuan kecemasan kepada penduduk yang ditimpa musibah.

Menurutnya, pelbagai agensi termasuk anggota bomba, petugas Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) bertungkus-lumus membersihkan pokok tumbang yang menghalang laluan utama orang ramai.

Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh pula berkata, penduduk yang terkesan boleh mendapatkan sumbangan dengan syarat perlu mengemukakan salinan kad pengenalan, gambar kerosakan rumah dan cop pengesahan Penghulu Mukim.



“Saya mohon maaf kepada penduduk Pasir Puteh, saya tidak sempat ziarah mereka kerana sedang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk urusan persidangan Parlimen,” katanya ketika dihubungi.- UTUSAN ONLINE

Pokok bacang 100 tahun tumbang hempap rumah


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU




Bossku: Umno’s biggest influencer

 



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker