Mansuh syarat i-Sinar: Ada kumpulan akan ambil kesempatan

KUALA LUMPUR: Pemansuhan syarat bagi kemudahan i-Sinar dilihat terarah kepada matlamat kerajaan untuk merangsang ekonomi melalui perbelanjaan oleh pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ketua Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari, berkata secara idealnya, pengeluaran simpanan itu sepatutnya digunakan untuk menyokong perbelanjaan pencarum.

Ia juga, katanya, boleh digunakan sebagai permulaan kepada perniagaan kecil-kecilan di mana perbelanjaan itu akan menyokong usaha pemulihan ekonomi.

“Jika pertimbangan ini digunakan, maka kerajaan perlu memastikan tiada halangan dan sekatan ke atas pengoperasian keseluruhan sektor ekonomi.

“Jika tidak, potensi ekonomi, iaitu kesan pengganda perbelanjaan tidak dapat dimaksimumkan dan kemungkinan berlaku herotan ke atas pasaran,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, dilaporkan berkata, KWSP dalam proses memansuhkan syarat kemudahan i-Sinar atas nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mohd Yusof melihat matlamat asal cadangan pengeluaran simpanan itu adalah untuk membantu pencarum yang terkesan akibat pandemik COVID-19 di mana sekatan pergerakan memberi kesan langsung kepada pekerjaan dan pendapatan pencarum.

Justeru, katanya, jika wang itu digunakan sebagai simpanan, ia menunjukkan bahawa pencarum bukanlah golongan yang layak mendapat manfaat inisiatif berkenaan.

“Jika ia digunakan sebagai pelaburan, contohnya dalam bentuk simpanan tetap, ia bukanlah keputusan yang baik ketika negara berdepan ketidaktentuan ekonomi.

“Apabila kebenaran pengeluaran diberikan kepada semua pencarum, maka akan wujud kumpulan ‘mengambil kesempatan’.

“Tidak semua ahli KWSP terkesan akibat pandemik kerana ada sektor ekonomi yang sudah pulih apabila ekonomi dibuka semula sejak Jun tahun lalu, malah ada sektor yang menjadi ‘juara’ di kala pandemik seperti pembuatan makanan dan pembekalan produk kesihatan,” katanya.

Mohd Yusof melihat dari perspektif ekonomi, terutama dengan mengambil kira manfaat dan kos kepada ekonomi, cadangan memberi kebenaran kepada semua pencarum mengeluarkan KWSP lebih bersifat populis.

Beliau berpendapat, kaedah lebih efektif adalah dilaksanakan secara bersasar dengan memberi keutamaan kepada pencarum yang terkesan akibat krisis COVID-19.

“Walaupun memang benar itu adalah wang pencarum sendiri, simpanan KWSP adalah simpanan untuk persaraan. Tabungan KWSP adalah pertahanan terakhir kewangan rakyat.

“Oleh kerana pandemik ini bersifat luar biasa yang pertama kali terjadi, maka kebenaran pengeluaran secara bersasar adalah titik keseimbangan yang ideal dari perspektif ekonomi,” katanya.

Beliau berkata, langkah kerajaan memberi kelonggaran pengeluaran simpanan dari Akaun 1 KWSP, memberi kesan langsung kepada pelaburan kumpulan wang berkenaan.

Mengikut anggaran kasar, Mohd Yusof berkata, KWSP dijangka memerlukan sekitar RM108 bilion untuk membiayai pengeluaran akaun satu tidak bersyarat berbanding hanya sekitar RM33 bilion bagi i-Sinar bersyarat.

“Keadaan ini akan mendorong KWSP untuk menstruktur semula pelaburan mereka, termasuk menarik semula pelaburan di luar negara.

“Penstrukturan semula pelaburan ini akan memberi implikasi kepada penjanaan dividen pencarum dan juga boleh memberi implikasi jangka panjang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Pelaburan diperlukan oleh ekonomi bagi memastikan kelangsungan dan kelestarian ekonomi,” katanya.

Dalam pengumuman semalam, Tengku Zafrul berkata, langkah berkenaan diharap dapat membantu ahli KWSP mengharungi cabaran semasa akibat pandemik COVID-19.

Pemansuhan syarat i-Sinar itu akan membolehkan ahli KWSP berumur kurang daripada 55 tahun, membuat pengeluaran daripada Akaun 1, tertakluk kepada baki yang sedia ada.

Bagi ahli yang sudah memohon i-Sinar berdasarkan kriteria dan syarat semasa, permohonan mereka akan diluluskan secara automatik tidak lama lagi.

Jumlah pengeluaran daripada Akaun 1 serta jadual pembayaran maksimum selama enam bulan seperti yang dinyatakan sebelum ini akan dikekalkan.

Bagi ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM100,000 dan ke bawah, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga RM10,000. Pembayaran akan dibuat berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga RM5,000.

Bagi ahli yang mempunyai lebih RM100,000 pula, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga 10 peratus daripada simpanan Akaun 1 atau maksimum RM60,000.

Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga RM10,000.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker