Jangkitan varian Delta di Sarawak membimbangkan

Sebaran :

Jangkitan varian Delta di Sarawak membimbangkan

KUCHING: Jangkitan varian Delta COVID-19 semakin membimbangkan di Sarawak, apabila kini merekodkan sejumlah 93 kes dalam tempoh Mei sehingga Julai ini.

Pengarah Kesihatan Sarawak, Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed, berkata kes paling banyak dikesan di Kuching iaitu sebanyak 69 kes, diikuti Samarahan (10 kes), Serian (enam kes), Sri Aman (lima), Miri (dua) dan Sibu (satu).

“Daripada jumlah itu, satu adalah kes import A, empat kes import B dari Semenanjung, lapan kes dikesan dalam kalangan tahanan polis dan imigresen di Kuching, Sri Aman dan Serian manakala selebihnya adalah kes jangkitan tempatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata kes varian Delta telah dikesan di beberapa lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuching seperti PKPD Kampung Astana Lot dan Sungai Bedil Besar, PKPD Kampung Seratau, PKPD Emperoh Nyiru Grait dan PKPD Kampung Bintawa Hilir.

Selain itu, katanya kes turut dikesan dalam kalangan kes-kes kluster aktif seperti Kluster Sentosa 2, Kluster Salak Land, Kluster Sungai Bedil Besar, Kluster KM23 Jalan Puncak Borneo, Kluster Pagar Satok, Kluster Jalan Tasik Biru By-Pass, Kluster Duyoh, Kluster Pagar Serian, Kluster Tembok Sri Aman 2 dan Kluster Lorong Perlis Empat Miri.

Menurut Mohamed, seramai 56 kes (60 peratus) belum menerima vaksin COVID-19 manakala 27 kes (29 peratus) telah menerima dos pertama vaksin dan 10 kes (11 peratus) telah menerima dos kedua vaksin sebelum mereka dikesan positif COVID-19.

Bagaimanapun, beliau berkata hanya lapan kes telah lengkap menerima vaksin iaitu lebih daripada 14 hari selepas dos kedua.

“Sebanyak 98 peratus kes COVID-19 ini berada pada tahap klinikal 1 dan 2 yang menunjukkan keadaan kes adalah stabil dan tidak memerlukan bantuan oksigen.

“Hanya satu kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kes itu juga dalam keadaan stabil,” katanya.

Mohamed menambah tiada kes kematian yang dilaporkan dalam kalangan kes varian Delta berkenaan. BH

Jangkitan varian Delta di Sarawak membimbangkan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


#IsraelKoyak kembali hangat di Olimpik


Sebaran :

Leave a Reply