SUV bawa 494kg ganja terbabas ke tali air
SUV bawa 494kg ganja terbabas ke tali air
Polis Kelantan merampas 494 kilogram (kg) ganja bernilai RM1.2 juta dalam kenderaan terbabas ke tali air di Kampung Lambor, Wakaf Bharu Tumpat, Kelantan malam kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Kelantan Abdullah Muhammad Piah berkata, pihaknya mengesan kenderaan itu dipandu dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 9.50 malam di Jalan Kampung Pasir Puteh, Chabang Empat.
Beliau yang ditemui pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Tumpat berkata, anggotanya telah mengarahkan kenderaan itu untuk berhenti namun pemandu terbabit bertindak melarikan diri.
“Anggota kami telah mengarahkan pemandu agar berhenti dengan menggunakan pembesar suara namun kenderaan itu terus memecut laju menyebabkan anggota terpaksa mengejarnya kira-kira 5km.
“Semasa mengejar, kenderaan suspek terbabas ke dalam tali air dan dia kemudian telah keluar dari kenderaan terbabit sebelum naik ke jalan dan menahan sebuah motosikal yang kebetulan lalu di lokasi serta terus membonceng,” katanya menurut laporan Bernama.
Abdullah berkata bagaimanapun penunggang motosikal berjaya diberkas manakala suspek melarikan diri menuju ke belukar berhampiran.
“Pemeriksaan dalam kenderaan itu menemui 12 bungkusan plastik hitam yang mengandungi 494kg bungkusan kertas berisi ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja. Setiap satu bungkusan kertas itu mengandungi 1kg ganja mampat dengan harga anggaran RM2,500,” katanya.
Abdullah berkata polis percaya ganja yang dibawa masuk dari negara jiran melalui pangkalan haram itu untuk pasaran sekitar Lembah Klang dan jika terlepas, ia boleh digunakan untuk 988,000 penagih.
“Kami percaya suspek yang melarikan diri itu adalah ‘transporter’ dan usaha mengesannya sedang dilakukan, manakala penunggang motosikal yang diberkas sudah ditahan reman sejak semalam sehingga 23 Julai ini,” katanya.
Katanya, berdasarkan semakan nombor plat kenderaan yang digunakan suspek itu, pihaknya memperoleh alamat pemilik dan sudah menjalankan dua serbuan iaitu di Padang Tembak dan Binjai, Kota Bharu namun mendapati dua rumah itu sudah dikosongkan.
“Kami juga sedang menyiasat sama ada penunggang motosikal yang berusia 25 tahun dan berasal dari Kampung Lambor itu ada kaitan atau tidak dengan kes dan setakat ini belum ada pengakuan.
“Hasil semakan yang dibuat, penunggang motosikal itu tiada rekod lampau dan ujian saringan juga negatif. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya. FMT
SUV bawa 494kg ganja terbabas ke tali air
Baca Artikel Menarik :
- Ciapan Takiyuddin mendapat reaksi Puad dan Shabery
- Sesak di tol Gombak, rentas untuk sambut Aidiladha?
- Najib bela Ebit Liew
- Ameera Khan Dikecam Lagi, Bertudung Tapi Baju Ketat
- Penduduk resah kemunculan keranda terbang, hantu ketuk pintu
- Resepi Biskut Arab 3 Warna