Datuk Seri dan anak direman seleweng RM304j

Datuk Seri dan anak direman seleweng RM304j

BALIK PULAU: Seorang lelaki berusia 52 tahun bergelar Datuk Seri, adalah di antara tiga yang direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes pecah amanah berjumlah RM304 juta.

Turut direman bersama adalah anak lelakinya yang berusia 26 tahun dan seorang lagi suspek berusia 29 tahun yang dipercayai terbabit sama dalam perbuatan itu.

Majistret Mahkamah Balik Pulau, Khalijah Mohd Khalid, membenarkan kesemua suspek itu direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan.

Terdahulu ketiga-tiga suspek itu ditahan sepasukan polis di sekitar Georgetown pada jam 4.40 petang semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan iaitu pecah amanah.

Difahamkan tiga lelaki itu adalah kakitangan syarikat yang diamanah mengagihkan hibah kepada pelabur sebuah syarikat, namun gagal berbuat demikian.

Mereka dipercayai menggunakan wang itu bagi kegunaan sendiri dan hanya mengagihkan hibah kepada beberapa pelabur sahaja.

Sebelum ini, Ketua Jabatan Siasatan Komersial Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd Rosni Mohd Lazim, dilaporkan berkata, siasatan mendapati syarikat itu adalah sindiket yang menawarkan keuntungan dalam bentuk hibah sebanyak 10 peratus kepada pelabur yang membeli saham pelaburan forex, perhotelan serta perniagaan kafe mereka.

“Rata-rata mereka yang ditipu sindiket berusia lingkungan 20 hingga 70 tahun dan kadar minimum setiap pelaburan berjumlah RM10,000.

“Hasil siasatan mendapati syarikat itu mempunyai tiga syarikat di Pulau Pinang dan beroperasi sejak tahun 2016 dengan mensasarkan golongan kenamaan sebagai mangsa, namun ada orang awam turut diperdayakan oleh mereka,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai modus operandi yang digunakan, Mohd Rosni berkata, bagi meyakinkan mangsa, sindiket terbabit melakukan perjumpaan secara bersemuka untuk menjelaskan konsep pelaburan di sebuah hotel di Bayan Lepas di sini.

Katanya, sindiket itu menawarkan beberapa pakej dan setiap pelabur diminta tanda tangan surat akuan janji bagi meyakinkan pelaburan itu berkonsepkan Islamik.

“Bagi menarik lebih banyak pelaburan dibuat, sindiket membayar keuntungan setiap bulan iaitu hibah 10 peratus.

“Namun selepas nilai pelaburan ditambah, sindiket culas membayar keuntungan dan mula memberi pelbagai alasan termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) punca pembayaran gagal dilakukan,” katanya. BH

Datuk Seri dan anak direman seleweng RM304j


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Lelaki tumbuk polis, conteng istana maut kemalangan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker