Purata gaji, upah bulanan di Malaysia merosot



Purata gaji, upah bulanan di Malaysia merosot

PUTRAJAYA: Purata gaji dan upah bulanan pada tahun lalu susut sembilan peratus, penurunan kali pertama sejak ia direkodkan mulai 2010, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam laporan Statistik Gaji & Upah Malaysia 2020.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata sepanjang 2020, pasaran buruh Malaysia mengalami momentum tidak menentu berikutan krisis kesihatan dan kesan ekonomi.

Ini, katanya, menyebabkan pekerja kehilangan pekerjaan di samping pembatalan atau pembekuan pengambilan baharu dan seterusnya mengakibatkan penurunan dalam jumlah guna tenaga.

“Selain itu, pelaksanaan langkah pengekangan penularan COVID-19 yang ketat dalam negara juga mengehadkan waktu operasi perniagaan dan menyebabkan berlakunya pengurangan waktu bekerja.




“Justeru, nilai purata gaji dan upah bulanan yang diterima oleh warganegara Malaysia pada 2020 menurun buat kali pertama sejak data siri masa ini dilaporkan mulai tahun 2010 iaitu dengan kadar negatif sembilan peratus.

“Setelah dua tahun berturut-turut merekodkan purata melebihi RM3,000, purata gaji dan upah bulanan menurun kepada RM2,933 pada 2020,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, mengikut aktiviti ekonomi, semua sektor merekodkan penurunan dalam nilai purata gaji dan upah bulanan.

Katanya, tiga sektor mencatatkkan penurunan dua angka iaitu sektor pertanian (-20.0 peratus), perlombongan dan pengkuarian (-17.7 peratus) dan pembinaan (-10.4 peratus), manakala sektor perkhidmatan dan pembuatan merekodkan pengurangan purata gaji dan upah bulanan masing-masing sebanyak 9.4 peratus dan 2.8 peratus.

“Sementara itu, antara industri dalam sektor perkhidmatan yang mempunyai bilangan penerima gaji dan upah yang ramai adalah industri perdagangan borong dan runcit, pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal; dan penginapan & aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman.




“Kedua-dua industri ini merekodkan penurunan dua angka dalam nilai purata gaji dan upah bulanan masing-masing sebanyak negatif 14.9 peratus dan negatif 13.7 peratus,” katanya.

Tambahnya, nilai purata gaji dan upah bagi pekerja mahir adalah sebanyak RM4,619.

“Dalam kategori pekerjaan mahir ini, pengurus menerima purata gaji dan upah tertinggi iaitu sebanyak RM6,479 diikuti oleh profesional (RM5,301) dan juruteknik & profesional bersekutu (RM3,313).

“Bagaimanapun, nilai purata yang diterima oleh pengurus mencatatkan penurunan terbesar berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, nilai purata bagi pekerja separuh mahir adalah sebanyak RM2,007.




“Dalam kategori ini, dapat dilihat bahawa purata gaji dan upah yang diterima oleh pekerja sokongan Perkeranian adalah sebanyak RM2,370,” katanya. BH


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Masjid diconteng : Jangan buka bunyi kuat”



Leave a Reply

Your email address will not be published.