Malaysia perlu PM interim dengan kepimpinan hebat

Malaysia perlu PM interim dengan kepimpinan hebat, strategi jelas selamatkan rakyat, ekonomi, kata Johari

Malaysia ketika ini amat memerlukan seorang pemimpin berkaliber lagi berwibawa untuk dilantik sebagai perdana menteri interim bagi mengatasi kemelut Covid-19 dan krisis ekonomi yang mencengkam rakyat, setelah Muhyiddin Yassin kehilangan sokongan Umno, kata Johari Ghani.

Bekas menteri kewangan II itu menegaskan, sebuah kerajaan interim dengan perdana menteri baharu yang berwibawa amat diperlukan ketika ini sehingga pilihan raya umum diadakan, susulan keputusan Umno menarik balik sokongan kepada Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Johari, yang juga Pengerusi Umno Wilayah Persekutuan, berkata krisis semasa memerlukan sebuah kerajaan interim yang mengutamakan pemulihan ekonomi dan menyelamatkan nyawa, bukan “bermain politik.”

Beliau berkata kerajaan interim berkenaan harus menggembleng tenaga individu berbakat dan berkebolehan daripada semua sektor, termasuk parti pembangkang.

Malam tadi, Majlis Kerja Tertinggi Umno secara rasmi menarik balik sokongan kepada Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Dalam mengumumkan keputusan itu, presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi menggesa Muhyiddin segera meletak jawatan kerana kerajaan Perikatan Nasional pimpinannya, gagal mengatasi pelbagai krisis berhubung Covid-19, menyebabkan rakyat terus menderita.

Dalam kenyataan hari ini, Johari berkata perdana menteri interim yang dilantik nanti harus fokus kepada memulihkan imej negara yang terjejas teruk kerana kegagalan kepimpinan Muhyiddin, khususnya selepas tercetusnya pandemik Covid-19.

Johari berkata tujuh kegagalan yang disenaraikan oleh MKT semalam, harus menjadi tumpuan utama untuk diperbetulkan secepat mungkin oleh kerajaan interim yang diketuai oleh pemimpin berkaliber berkenaan.

Malaysia perlu PM interim

“Kita memerlukan seorang ketua yang boleh mempamerkan kepimpinan hebat dalam menguruskan sesebuah krisis. Ini bukan tentang politik. Ini mengenai negara tercinta kita yang yang terus menderita kerana kepimpinan lemah (yang ada sekarang).

“Kita memerlukan seorang pemimpin hebat untuk membawa rakyat keluar daripada penderitaan pandemik ini, seorang pemimpin yang sihat, mempunyai imej bersih dan dihormati oleh rakyat, kakitangan awam, dan Ahli Parlimen,” kata Johari.

“Beliau juga mesti mempunyai kebolehan untuk mengatur strategi, merancang, dan memantau pelaksanaan tindakan kolaboratif kita semua sebagai sebuah negara, tanpa mempedulikan sangat populariti diri atau didorong keinginan menambah pengaruh politik peribadi,” kata Johari.

Keseriusan krisis semasa yang dihadapi negara, kata Johari memerlukan tenaga dan bakat segenap lapisan rakyat, tidak kira kaum, agama, atau kecenderungan politik, diterapkan dalam ‘perang’ mengatasi pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

“Jika kita memerlukan sumbangan minda, pengalaman, dan kepakaran pemimpin muda tertentu dalam pembangkang – tidak kira dari PKR, DAP atau Amanah – mahupun golongan professional untuk digembelengkan sebagai sebahagian kerajaan interim yang dicadangkan, kita harus melakukannya.

“Kita tidak mampu bermain politik pada masa genting ini kerana ia soal survival negara. Segala yang terbaik di negara ini harus dimanfaatkan. Tidak ada lagi ruang untuk bermain politik. Kesihatan dan kesejahteraan rakyat harus jadi keutamaan.

“Ada pihak yang mahu atau mendesak pemerintahan ‘Melayu-Islam’ semata-mata. Tetapi kita harus bersikap praktikal dan ingat bahawa sebuah pemerintahan Melayu-Muslim tanpa bakat dan pengalaman yang diperlukan untuk menguruskan wabak ini, tidak akan membantu sesiapa pun – termasuk penduduk majoriti Melayu-Islam (di negara ini).

“Jangkitan virus Covid-19 merentasi bangsa dan agama. Semua rakyat – tanpa mengira bangsa, agama, pandangan politik dan kelayakan pendidikan – mengharungi penderitaan dalam pelbagai bentuk ketika ini.

“Ini masa untuk semua rakyat bersatu dan bekerja sebagai satu pasukan untuk menewaskan wabak ini dan memulihkan ekonomi agar kita semua menikmati kehidupan lebih baik,” kata beliau.

Johari berkata prestasi Malaysia dalam menguruskan pandemik Covid-19 amat merudum berbanding negara lain. Contohnya, Malaysia berada di tempat 114 daripada 120 negara dan wilayah yang disenaraikan dalam Indeks Pemulihan Nikkei Covid-19 untuk Jun.

Indeks berkenaan mengukur pengurusan jangkitan wabak itu, program vaksinasi dan mobiliti sosial negara dan wilayah berkenaan. Malaysia hanya mencatat skor 29, berbanding China yang menduduki tempat pertama, dengan 76.5.

Negara jiran seperti Singapura, Laos, Kemboja, Vietnam, Filipina, dan Indonesia turut mendahului Malaysia dalam indeks berkenaan.

Awal bulan ini, Malaysia berada di kedudukan tercorot senarai 50 negara dalam The Economist’s Global Normalcy Index, yang sekali lagi menunjukkan kerajaan cuai dalam menguruskan pandemik Covid-19 dan ekonomi negara.

Johari menegaskan sebuah kerajaan interim dengan perdana menteri yang berwibawa diperlukan untuk “membantu rakyat mengatasi penderitaan dan sekurang-kurangnya mengekang, wabak Covid-19 dengan berkesan di samping meletakkan negara kembali ke landasan pemulihan ekonomi yang kukuh.”

Untuk mencapai matlamat ini, katanya, strategi jelas diperlukan untuk memerangi pandemik Covid-19, dengan menggabungkan penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang. Pendekatan berkenaan mesti dilaksanakan dengan cepat dan efisien, atau keadaan negara akan menjadi lebih buruk, kata beliau.

Johari mengulangi keperluan ujian saringan pada skala besar ditingkatkan, terutama di kawasan perindustrian dan tempat kerja, untuk mengesan dan mengasingkan mereka yang positif Covid-19.

Kerajaan juga harus membenarkan orang awam melakukan ujian kendiri dan mengasingkan diri jika mereka tidak bergejala dan berada dalam kategori berisiko rendah. Ini perlu dilakukan secara berkala, kata beliau.

Beliau menegaskan ‘lockdown’ berpanjangan dan berterusan, tidak produktif, dan terbukti tidak berkesan. Sekatan bersasaran dengan saringan besar-besaran di kawasan ‘hotspot’ adalah pendekatan lebih berkesan, kata Johari.

Johari turut menekankan pentingnya program vaksinasi dilaksanakan secara telus dan berkesan, sekalipun mungkin terpaksa menanggung belanja tinggi.

“Vaksinasi adalah kunci (mengatasi wabak Covid-19) dan mesti dilakukan secara telus. Sekiranya kerajaan perlu membayar harga lebih tinggi untuk bekalan vaksin kerana permintaan dunia yang tinggi, tidak mengapa.

“Namun, ini (program vaksinasi berkesan) mesti digubal, dilulus, dan dilaksanakan dengan amat telus supaya tidak ada sesiapa mengaut keuntungan daripada penderitaan orang,” kata beliau.

Johari berkata proses vaksinasi harus disegerakan di kawasan kepadatan penduduk tinggi seperti Lembah Klang dan ibu negeri seperti Johor Bahru, Pulau Pinang, Ipoh, Kuantan, Kota Bharu, Melaka, Seremban, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu, Kuching serta bandar-bandar lain.

“Apabila fokus (program vaksinasi) seperti ini diberi keutamaan, kita mampu mencapai imuniti kelompok dengan lebih cepat kerana hampir 73% penduduk kini tinggal di bandar atau berulang-alik ke bandar. Pendekatan ini akan membolehkan pembukaan semula sektor perniagaan, pembuatan dan perkhidmatan di bandar-bandar utama ini dan sekali gus memacu aktiviti ekonomi,” kata Johari.

Johari berkata penderitaan yang dilalui rakyat ketika ini memerlukan pembelaan segera.

“Bantuan kerajaan untuk mereka yang terkesan dengan ‘lockdown’ dan pelbagai sekatan bukan sahaja perlu dipercepatkan tetapi juga harus memenuhi keperluan untuk membolehkan mereka kembali berdikari.

“Agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan institusi zakat mesti memastikan golongan ini mempunyai barangan asas seperti makanan untuk menampung keperluan seisi keluarga. Sekiranya kerenah birokrasi menjadi masalah untuk menyampaikan bantuan secara berkesan, maka prosedur berkenaan harus dipermudahkan atau dimansuhkan demi ‘memastikan tidak ada sesiapa yang terpaksa tidur kelaparan’,” kata beliau.

Mengenai Umno, Johari berkata: “Orang awam mengaitkan kegagalan PN kepada Umno, kerana Jemaah Menteri mempunyai ramai Ahli Parlimen Umno yang memegang jawatan penting berhubung pengurusan Covid-19. Justeru, apa sahaja keputusan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Umno akan dipantau dengan teliti oleh rakyat.” FMT

Malaysia perlu PM interim dengan kepimpinan hebat


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Pekebun haram Musang King peroleh Rm420j semusim

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker