Akar umbi Pas, UMNO setuju elak bertembung 27 kerusi MN – Zuhdi

Akar umbi Pas, UMNO setuju elak bertembung 27 kerusi MN – Zuhdi

Rundingan bagi memastikan UMNO dan Pas tidak bertembung di 27 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) telah selesai di peringkat akar umbi.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki berkata, rundingan tersebut disambut baik oleh UMNO bahagian dan Pas kawasan di kerusi-kerusi yang dinamakan sebagai kerusi Muafakat Nasional (MN).



Menurut beliau, hasil tinjauannya mendapati akar umbi kedua-dua parti di 27 kawasan Parlimen terbabit memahami pertembungan antara Pas dan UMNO mesti dielakkan bagi menghalang Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa selepas PRU-15.

“Cadangan-cadangan yang disuarakan akar umbi ini telah dibawa kepada pimpinan tertinggi Pas dan UMNO untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.

Pada 12 Ogos lalu, Mohd. Zuhdi membayangkan PH mungkin kembali berkuasa selepas PRU-15 jika UMNO dan Pas gagal bermuafakat untuk mengelak pertembungan antara kedua-dua parti di 27 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia.

Menurut beliau, pada PRU-14, sebanyak 20 daripada 27 kerusi tersebut terlepas ke tangan PH sehingga membolehkan mereka membentuk kerajaan manakala baki tujuh lagi kerusi adalah sangat berisiko untuk jatuh ke tangan PH pada PRU-15 memandangkan kekalahan mereka di kerusi-kerusi tersebut adalah sangat tipis.



Berhubung formula pembahagian kerusi yang dicadangkan, Mohd. Zuhdi berkata, tujuh kerusi yang gagal dirampas PH akan ditandingi oleh parti yang menyandangnya.

“Bagi 20 kerusi yang jatuh ke tangan PH pula, keutamaan diberi kepada parti yang mempunyai jumlah undi kedua tertinggi pada PRU-14.

“Ada juga alternatif lain iaitu melihat parti mana yang dijangka boleh menang di kerusi berkenaan,” jelasnya.

Beliau memberitahu, pertembungan antara UMNO dan Pas boleh berlaku di kerusi-kerusi lain yang tidak termasuk dalam rundingan kerusi MN.



“Walau bagaimanapun, kita melihatnya sebagai friendly match atau perlawanan persahabatan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau dengan tegas menolak sebarang usaha melibatkan Pas dengan pakatan pilihan raya bersama PH.

“Jika situasi itu berlaku, saya akan tentang,” katanya. MG

Akar umbi Pas, UMNO setuju elak bertembung 27 kerusi MN – Zuhdi




Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Roti Gardenia naik harga lagi



PN ada kelebihan – Shabery

Warkah Najib dari Penjara Kajang, suasana Dewan Merdeka hiba



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker