Noni mengibar bendera putih tagih bantuan
Noni mengibar bendera putih tagih bantuan
Noni mengibar bendera putih di hadapan rumah sewanya dengan harapan akan mendapat bantuan.
KUCHING: Mengharapkan bantuan dengan mengibarkan bendera putih di depan rumah, itu yang dilakukan Noni Umpik dan Mohd Faizal Abdullah kerana terpaksa ketika dihimpit kesusahan.
Noni, 57, yang tinggal di sebuah rumah sewa Lorong Foochow 1T, Jalan Chawan, mengetepikan perasaan malu untuk mendapatkan apa jua bentuk bantuan khasnya barangan keperluan daripada pelbagai pihak.
Berasal dari Kampung Mangka, Kota Samarahan, dia tinggal bersama suaminya yang bekerja sebagai buruh kasar di sebuah rumah sewa tidak jauh dari rumah sewa tempat anaknya tinggal.
Noni yang bekerja di sebuah Tokong berhampiran dengan gaji RM400 sebulan berkata dia dan suami terjejas pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sehingga kadang-kadang perlu membayar sewa bulanan secara ansuran.
“Sepanjang PKP, memang kami berdepan masalah kewangan. Saya pergi ke mana sahaja di mana bantuan diberikan, saya tidak memilih, menerima seadanya apa yang diberikan.
“Saya buang rasa malu, demi kelangsungan hidup, duit gaji yang ada, saya gunakan untuk membayar sewa, itupun ada kalanya ia dibayar ansuran,” katanya ketika ditemui wartawan The Borneo Post hari ini.
Noni berkata dengan mengibar bendera putih di hadapan rumah sewa, akan ada pihak yang tampil membantu bagi meringankan beban ditanggungnya bersama suami.
Turut mengambil inisiatif mengibar bendera putih di hadapan rumahnya, Mohd Faizal, 45, yang menyewa di Jalan Foochow.
“Kali terakhir saya mendapat bantuan dalam bentuk barangan keperluan, dua minggu lepas. Itupun sekali sahaja,” katanya sambil memberitahu beliau ada mendapat bantuan dalam bentuk makanan daripada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS).
Bekerja sebagai buruh pembinaan, Mohd Faizal hilang punca pendapatan kerana tidak dapat turun bekerja sejak dua bulan lalu menyebabkan dia terpaksa meminjam wang daripada adik beradiknya.
“Pendapatan saya memang terjejas, ada kerja adalah gaji, sekarang ni pendapatan kosong, sudah dua bulan saya tidak bekerja.
“Haparan saya dengan mengibar bendera putih ini, ada pihak yang datang menghulurkan bantuan, tak banyak sedikit pun sudah memadai bagi menampung perbelanjaan dapur. Saya tetap bersyukur,” katanya.
Inisiatif kempen yang dipanggil #KempenBenderaPutih di kediaman menjadi tular dan trending di media sosial, yang meminta orang ramai yang dalam kesusahan menaikkan bendera putih bagi memaklumkan kepada umum bahawa mereka memerlukan pertolongan. UB
Noni mengibar bendera putih tagih bantuan
Baca Artikel Menarik :
- Kelulusan pergerakan individu bekerja sendiri hingga 7 Julai
- Vaksin: Kerajaan fokus sektor industri beroperasi ketika PKP
- Bella : Sekarang Dia Cuba Berubah
- Dadah RM23.72 juta dibawa melalui trak ditahan
- Adab berjiran jika kelaparan tidak perlu tunggu kerajaan
- Resepi Ikan Bawal Emas Masak Lemak Cili Padi Cekur
Layari Laman Facebook MYKMU
Lelaki trauma diugut sebar gambar bogel
You must be logged in to post a comment.