Siapa 5 calon berpotensi sebagai Ketua Pemuda UMNO
Siapa 5 calon berpotensi sebagai Ketua Pemuda UMNO
Beberapa pemimpin muda berkaliber yang memiliki pengaruh, latar belakang pendidikan meyakinkan serta prestasi memberansangkan dilihat sesuai mengetuai sayap Pemuda UMNO.
Selepas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan yang sebelum ini dilihat paling berpotensi menggantikan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki digantung keahliannya selama enam tahun pada Jumaat lalu, lima nama lain disebut-sebut mempunyai peluang untuk menerajui sayap berkenaan.
Asyraf Wajdi sebelum ini sudah mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan Ketua Pemuda UMNO yang disandangnya sejak 2018.
Penganalisis politik melihat antara calon boleh bersaing menggantikan Asyraf Wajdi ialah Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil; EXCO Kesihatan dan Antidadah Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh dan Ketua Pemuda UMNO Pekan, Datuk Mohd Nizar Najib.
Yang turut dilihat menonjol dan mampu memberi cabaran sengit ialah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Paya Besar yang juga bekas Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Mohd Shahar Abdullah.
Penganalisis politik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah, menjangkakan pemilihan jawatan Ketua Pemuda UMNO bakal menyaksikan pertembungan antara kem pro-Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan kem berlawanan.
“Antara layak jadi Ketua Pemuda UMNO ialah Isham dan Mohd Nizar. Saya percaya Isham ada kelebihan dan jika bertanding, kemungkinan besar menang kerana dilihat berjaya membina pengaruh dan kekuatan ketika dalam gerak kerja dan strategi UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Beliau juga dilihat mendapat kepercayaan Ahmad Zahid, sekali gus penyokong Presiden UMNO itu mungkin turut memberi sokongan kepada Isham. Beliau juga dilihat ada potensi menjadi ‘the next Khairy Jamaluddin’ berdasarkan latar belakang pendidikannya, lepasan Harvard University,” katanya kepada BH.
Pemilihan UMNO secara rasminya bermula semalam, dengan peringkat pertama pemilihan jawatankuasa cawangan, Pemuda, Wanita dan Puteri membabitkan 22,000 cawangan dan 191 bahagian seluruh negara, yang berlangsung sehingga 26 Februari depan, disusuli peringkat bahagian sehingga 18 Mac.
Tarikh pendaftaran bagi calon untuk pertandingan peringkat bahagian dan pusat bermula pada 13 Februari dan ditutup pada jam 5 petang 26 Februari.
Setakat ini, antara yang dilapor menawarkan diri merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO ialah ahli MKT, Datuk Armand Azha Abu Hanifah.
Meskipun meramalkan kemenangan Isham, Iskandar Hasan mengakui calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Shah Alam pada PRU15 itu tidak akan menang mudah, terutama jika Mohd Nizar turut mencalonkan diri merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO.
“Saya percaya Mohd Nizar ada sokongan yang kuat, akan turut didorong pengaruh bapanya, Datuk Seri Najib Razak,” katanya.
Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, melihat Dr Akmal yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka dan Mohd Razlan menonjol dan berpotensi memberi saingan sengit dalam perebutan menggantikan Asyraf Wajdi.
Katanya, beliau turut difahamkan, Setiausaha Pemuda UMNO yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Hasmuni Hassan dijangka menawarkan diri bertanding jawatan berkenaan.
“Saya lihat potensi Dr Akmal yang berjaya membuktikan prestasinya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau dan EXCO dalam kerajaan Melaka meskipun masih muda, sekali gus berpotensi menarik sokongan pengundi muda jika menjadi Ketua Pemuda UMNO yang baharu.
“Ini elemen penting perlu ada pada Ketua Pemuda UMNO yang baharu kerana akan bertanggungjawab menarik kembali sokongan orang Melayu dan pengundi muda selepas UMNO kalah teruk dalam PRU15.
“Mohd Razlan juga ada potensi dan boleh memberi saingan sengit kerana kerap menonjol dan garang, selain rapat dengan Presiden UMNO,” katanya.
Ditanya peranan perlu digalas Ketua Pemuda UMNO baharu dalam agenda pemulihan parti, Mohd Azizuddin menegaskan, pemimpin yang diberi amanah itu tidak boleh menjadi ‘yes man’ semata-mata pada pimpinan tertinggi parti.
“Ketua Pemuda juga perlu ada hubungan baik dengan pucuk pimpinan dan mampu menyatukan kembali semua ahli sayap itu bagi mengelak perpecahan dalaman berterusan. Ketua Pemuda perlu bijak, berkaliber dan ada latar belakang yang baik dan berkemampuan berkhidmat untuk rakyat.
“Ini kerana imej Pemuda UMNO akan diterjemahkan melalui kenyataan dan tindakan ketuanya. Mereka juga perlu kritikal dengan luah kritikan apabila perlu, namun perlu bersifat konstruktif dan disuarakan melalui saluran dalam parti supaya kritikan tak jadi permainan media dan jejas imej UMNO,” katanya. BH
Siapa 5 calon berpotensi sebagai Ketua Pemuda UMNO
Baca Artikel Menarik:
- Muhyiddin lancar kabinet bayangan, Hadi cuma timbalannya
- Axia baharu lebih mahal tapi ini yang menanti anda
- Apa beza pinjaman beli Vellfire dan rumah?
- Ada Khairy dalam PH pun tak menambah
- ‘Sedekah’ PRU, SPRM kenal pasti 90 individu
- Pembekuan akaun Bersatu oleh SPRM, ‘bersih dan stabil’ hanya ‘sembang’
- Jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Shahrizat kembali ke gelanggang politik
- Set Menu Rahmah MYDIN Setiap Hari Hanya RM4.90
- 10 Fakta Ikan Merah
- Saya ‘diserang’ selepas tawar diri bertanding – Armand Azha
- Vin Diesel ditemui beli ikan baung
- Akaun Bersatu dibeku kerana ‘derma’ RM300 juta
- Kenapa kau lari Sophia, tanya Bella
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Aliff akhirnya mengesahkan kontroversinya bersama Sophia Albarakbah