Datang ke balai polis dengan berlumuran darah


Datang ke balai polis dengan berlumuran darah

Butterworth: Pemandu lori menerima 37 jahitan di lengan kanan selepas terkena libasan parang selepas diserang jiran dalam kejadian di tepi jalan di Taman Cantik, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa berusia 31 tahun yang dalam keadaan berlumuran darah tampil membuat laporan di Balai Polis Butterworth dekat sini, berhubung insiden menimpanya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa memberitahu bahawa jirannya berusia 39 tahun bertindak menetaknya dengan parang berukuran sepanjang 40 sentimeter.

“Mangsa memaklumkan sebelum itu dia pergi sebuah kedai mini di Taman Bagan untuk membeli rokok dan tiba-tiba datang suspek bertanyakan kepadanya ‘mahu apa’ dan mangsa menjawab ‘tidak mahu apa-apa’.

“Suspek kemudian menggunakan topi keledarnya untuk memukul topi keledar yang dipakai mangsa namun mangsa tidak mempedulikannya dan terus beredar dari kawasan itu.

“Bagaimanapun, ketika mangsa tiba di Taman Cantik (kawasan rumahnya) secara tiba-tiba dia diserang suspek yang bertindak melanggar motosikalnya, namun mangsa tidak terjatuh sebelum suspek mengeluarkan sebilah parang ,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa cuba untuk mempertahankan dirinya namun parang terkena pada bahagian lengan kanannya dan suspek terus melarikan diri.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah terus menunggang motosikalnya ke balai polis dan anggota kemudian menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk membawa mangsa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut.

“Doktor yang merawat mangsa mengesahkan mangsa mengalami kecederaan luka dan koyakan lebih kurang 10 sentimeter panjang dan dua sentimeter dalam pada bahagian lengan kanan disebabkan oleh objek tajam.

“Mangsa diberikan 37 jahitan pada lengan kanan dan dua minggu cuti sakit sebelum dibenarkan pulang ke rumah,” katanya.

Noorzainy berkata, mangsa memberitahu bahawa dia mengenali jirannya yang juga pemandu fortlift sejak dua tahun lalu dan tidak mempunyai sebarang masalah mahupun pernah berhutang dengan suspek.

“Mangsa tidak pasti sebab suspek bertindak sedemikian terhadapnya dan dia hanya syak suspek adalah seorang penagih dadah.

“Melalui laporan itu, polis kemudian menahan suspek pada jam 3.30 petang semalam di rumahnya dan merampas parang yang dibuang di dalam longkang berhampiran tempat kejadian untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau dan ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah.

“Suspek direman lima hari bermula hari ini hingga Rabu depan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya. HM

Datang ke balai polis dengan berlumuran darah


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Najib tak buat apa masa jadi PM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker