Ezlynn istiqamah bertudung, padam semua gambar lama


Ezlynn istiqamah bertudung, padam semua gambar lama

Biarpun berdepan kesukaran akibat Covid-19, penyanyi dan juga pelakon, Ezlynn tidak berasa kesal menolak tawaran drama yang memerlukannya membuka tudung.

Katanya, walaupun bidang seni masih menjadi kerjaya utama sejak berhijab tahun lalu, dia tetap tidak sanggup mendedahkan aurat semata-mata mahu merebut saja peluang yang datang.

“Situasi pandemik Covid-19 yang melanda dunia turut memberi kesan kepada ramai orang termasuk saya apabila tiada lagi undangan persembahan mahu pun lakonan hingga perlu cari alternatif lain demi sesuap nasi.

“Saya pernah dapat tawaran bawa watak isteri. Dia tidak kisah saya sudah bertudung, cuma beri syarat untuk adegan dalam bilik tidur bersama ‘suami’, saya diminta mengenakan serkup kepala sahaja.

“Bukan perasan bagus, saya terpaksa tolak secara baik. Saya tahu masih ada yang tak faham biarpun serkup tidak menampakkan rambut, aurat lain termasuk leher masih kelihatan. Jadi lebih baik pendirian ini saya tegaskan supaya tidak menyusahkan pihak produksi nanti.

“Tak mengapa hilang ‘job’ itu kerana yakin Allah akan ganti rezeki lain. Mujur mereka faham malah saya sangat hargai ingatan pihak terbabit. Andai ada tawaran lain selepas ini, saya takkan menolak jika masih boleh berhijab penuh,” katanya kepada Kosmo! Online.

Terdahulu, laman sosial penyanyi lagu Hi Hi Bye Bye itu menimbulkan pertanyaan peminat apabila hanya dipenuhi hantaran mengenai keagamaan dan nasihat, manakala semua gambar lamanya ketika belum berhijab sudah dipadamkan.

Ezlynn istiqamah bertudung, padam semua gambar lama

Pemilik nama sebenar Azline Ariffin, 39, yang sudah bertudung sejak Ramadan tahun lalu, turut dilihat mengenakan stoking tangan bagi menjaga aurat.

Selebriti yang pernah berimej seksi itu mengakui, perubahan hidupnya berlaku secara berperingkat, bermula dengan belajar solat lima waktu, sebelum menjaga lisan dan gaya pemakaian.

“Setiap insan ingin ke arah yang lebih baik, begitu juga saya. Dalam tiga, empat tahun lalu saya belajar betulkan dan lengkapkan solat, mendekati al-Quran, imarahkan majlis agama dan sebagainya kerana saya ada banyak kekurangan.

“Selepas itu saya mula jaga pertuturan dan pemakaian. Lama-kelamaan saya berhijab tetapi saya enggan bertudung sebab fesyen semata-mata. Jadi, saya tutup aurat dengan mengenakan stoking tangan dan kaki sampailah sekarang.

“Dugaan memang banyak namun kita kena istiqamah, tambahan pula insan seperti saya yang masih perlu banyak belajar. Oleh kerana itu saya jadikan laman sosial sebagai medan tambah pahala dengan berkongsi pelbagai ilmu bermanfaat kepada diri dan orang lain.

“Saya juga padam gambar lama, segan ingat kekhilafan lalu namun jika ada video atau gambar tak berhijab dalam medium lain, itu semua di luar bidang kuasa saya, janji Allah tahu saya sudah berubah. Semua itu juga jadi pengajaran pada diri sendiri,” katanya.

Sementara itu, ditanya tentang mata pencariannya, Ezlynn kini berniaga kecil-kecilan, membuat ulasan produk atau perkhidmatan menerusi Instagram selain aktif melakukan kerja amal bersama Angkatan Pertahanan Awam (APM).

“Kalau ikutkan dugaan musim Covid-19 ini cukup mencabar. Saya tak kisah buat apa pun janji dapat rezeki halal. Pembabitan dalam APM pula antara cara saya kurangkan tekanan. Daripada meratapi nasib, lebih baik saya buat kerja amal.

“Insya-Allah rezeki itu akan datang kemudian, mungkin dalam keadaan lain. Namun kalau pasal berlakon atau menyanyi, saya tetap sedia terima sebab ini adalah tempat saya cari makan,” katanya yang hidup solo sejak bercerai pada 2017. K Online

Ezlynn istiqamah bertudung, padam semua gambar lama


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Amyra Rosli Tolak Semua Job, Duduk Rumah Masak Je

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker