DAP ‘deep state’ sebenar

Polemik Khat/Jawi

1. Bermula dengan polemik modul pembelajaran khat/jawi – Hari Raya Aidiladha kali ini dihiasi dengan kenyataan pendukung kerajaan yang cukup mengecewakan.

2. Ada yang mengaitkan pengenalan khat/jawi ini sebagai langkah ke belakang. Ada yang mengaitkan usaha ini dengan najis lembu. Ada yang mengatakan jawi menjadi bahan bacaan ‘porno’ semata-mata.

3. Ironinya, kenyataan dan sindiran negatif ini diucapkan oleh ahli politik daripada satu parti sahaja, iaitu DAP. Demikian jahil, bongkak dan angkuh ahli politik DAP ini. Mungkin ini cara mereka mengingatkan orang Melayu – mereka sudah ada di koridor kuasa. Orang Melayu barangkali perlu membiasakan diri dengan sindiran lebih kasar dalam masa terdekat ini!

4. Atas desakan pihak tertentu, keputusan memperkenalkan khat/jawi terpaksa ‘dilentur’ kononnya atas dasar kerajaan yang prihatin dengan maklum balas rakyat.

5. Melentur dan merubah keputusan ini lambang kelemahan kerajaan yang sangat ketara. Inilah ‘deep state’ sebenar. Ada daulah dan kuasa ‘lain’ yang membuatkan kerajaan semakin caca marba. DAP inilah ‘daulah terpendam’ kerajaan mutakhir ini.

6. Kita tidak mungkin lupa dengan ungkapan ‘guna Melayu untuk skru Melayu’ yang juga pernah diungkapkan oleh seorang pemimpin DAP. Melayu mana sebenarnya yang digunakan untuk menjahanamkan Melayu? Pastinya parti politik Melayu yang bergantung harap dan kekuatan kepada sebuah parti seperti DAP.

Insiden Buli Jalan Raya

7. Faham dendam dan kebencian dalam masyarakat semakin melebar. Insiden kemalangan, walaupun pada asasnya bersandarkan kepada ‘buli jalan raya’ pantas bertukar menjadi isu perkauman, jika tidak ditangani serius.

8. Dian Malika menjadi anak yatim dalam sekelip mata. Apa pun puncanya, siasatan menyeluruh mesti dijalankan tanpa ada niat untuk ‘menyelamatkan’ sesiapa. Hukuman setimpal wajib dikenakan.

Menteri Perpaduan Yang Gagal

9. Menteri yang bertanggungjawab menjaga dan membugar nawaitu integrasi, sudah menjadi ejen perpecahan. Tidak ada kata dan air muka yang membangkitkan ketenangan. Yang ada, sikap Menteri sendiri yang menentang pengenalan khat/jawi dan menolak idea perpaduan.

10. Kerajaan yang bijaksana dan bertanggungjawab perlu mengurus segala isu ini dengan tuntas. Bukan menjadi asas kecelaruan.

11. Mereka yang gagal memahami semangat dan minda ‘nasional’ wajar cepat diketepikan. Jangan biar keangkuhan, kesombongan sesuatu kumpulan/kaum yang kemaruk kuasa menjadi alasan negara ini terus berpecah. Langkah pembetulan perlu bermula sekarang.

12. Sejujurnya, gema dan getar ‘Negaraku’ semakin melemah kerana kegagalan kerajaan mengurus isu dengan tuntas. Memimpin bukan soal menerima pengiktirafan di sana sini sedang negara sendiri berdepan masalah serius akibat pentadbiran yang caca marba.

Reezal Merican
Utusan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker