USM minta maaf ‘ugutan pindah’ pada penghuni asrama

Sebaran :

USM minta maaf 'ugutan pindah' pada penghuni asrama

USM minta maaf ‘ugutan pindah’ pada penghuni asrama

Universiti Sains Malaysia (USM) memohon maaf ekoran pendirian yang dianggap tidak wajar diambil pihak pengurusan salah sebuah asrama universiti itu terhadap penghuninya.

Permohonan maaf itu hadir susulan sikap pengurusan asrama Desasiswa Saujana mempertahankan hak mereka untuk melakukan pemeriksaan terhadap penghuninya dan memaklumkan sesiapa yang tidak berpuas hati dengan peraturan itu boleh berpindah keluar.



“Pihak universiti sudah menegur Desasiswa Saujana dengan menyatakan bahawa kenyataan seperti itu tidak diperlukan.

“Universiti meminta maaf kepada semua pelajar yang terkesan dengan kenyataan itu dan berharap perkara seperti ini dapat ditangani dengan lebih baik pada masa depan,” kata Timbalan Naib Canselor USM Aldrin Abdullah dalam satu kenyataan malam tadi.

Bagaimanapun Aldrin mempertahankan kehadiran kakitangan lelaki semasa pemeriksaan ke atas tempat tinggal penghuni wanita pada 25 Mei lalu.


Katanya, mereka yang terlibat dalam pemeriksaan itu terdiri daripada tiga pegawai wanita dan seorang lelaki selain turut disertai 16 pelajar perempuan yang merupakan anggota jawatankuasa Desasiswa Saujana.

Menurut Aldrin pemeriksaan itu selaras dengan peraturan kolej kediaman yang menyatakan, “jika pemeriksaan tempat tinggal pelajar dilakukan, sekurang-kurangnya seorang anggota pengurusan Desasiswa atau siapa pun yang diberikan kuasa, yang mempunyai jantina yang sama dengan penghuni (pelajar) mesti hadir semasa pemeriksaan”.

Ketika dihubungi, Aldrin menjelaskan bahawa peraturan tersebut membolehkan kakitangan lelaki hadir dengan pelbagai alasan, asalkan ditemani oleh wanita ketika melakukan pemeriksaan berkenaan.

Tidak akan dilakukan lagi

“Kadang-kadang ada kes agresif, kadang-kadang ada penceroboh. Kadang-kadang hanya golongan lelaki yang ada dan dia boleh ikut jika ada kecemasan.

“Atas sebab-sebab ini, peraturan kami membenarkan (untuk ini) bahawa dia mesti ditemani oleh seorang wanita,” kata Aldrin kepada Malaysiakini.

Ditanya sama ada pihak kampus akan menambah baik prosedur pemeriksaan mengejut seperti membenarkan kakitangan wanita mengetuk serta membuka pintu dan kakitangan lelaki berada di belakang, Aldrin berkata: “Sudah tentu.”

Semalam, Malaysiakini melaporkan bahawa pelajar di kolej kediaman berkenaan – tanpa mendedahkan identitnya – membuat aduan mengenai pemeriksaan tempat tinggal pelajar melalui laman sosial Facebook “Pengakuan USM”.

Antara lain, dia mendakwa seorang warden lelaki membuka pintu bilik penghuni wanita tanpa mengetuk atau memberi notis terlebih dahulu, sementara yang lain mendakwa bahawa dia berpakaian tidak lengkap ketika pintu biliknya dibuka.

Pihak pengurusan Desasiswa Saujana menjawab aduan itu dengan mengatakan anggota pasukan mengetuk pintu sebelum membukanya dan mereka berhak untuk melakukan pemeriksaan pada bila-bila masa.

Seterusnya berkata: “Jika anda inginkan privasi dan tidak ingin terikat dengan peraturan asrama, anda dipersilakan datang ke pejabat, kembalikan kunci dan kosongkan bilik anda.

“Anda boleh menyewa rumah di luar USM, privasi anda akan terjamin. Dan anda tidak akan terbangun oleh suara seseorang mengetuk pintu anda ketika anda sedang tidur … ”

Naib Canselor USM Faisal Rafiq Mahamd Adikan memberitahu Malaysiakini tindak balas pengurusan asrama adalah tidak profesional dan tidak wajar.

Pemeriksaan mengejut

Faisal Rafiq berkata, pemeriksaan mengejut pada lewat malam tidak akan dilakukan lagi dan warden lelaki yang terlibat tidak dibenarkan melakukannya lagi.

Sementara itu, dalam kenyataan Aldrin, dia mendakwa pemeriksaan itu dilakukan dari jam 10.30 malam itu hingga 1 pagi bertujuan untuk memastikan keberadaan penghuni ketika pandemik Covid-19.

Pemeriksaan dilakukan itu melibatkan 449 bilik dan 16 pelanggaran peraturan kolej kediaman dikenal pasti.

Lima belas daripadanya melibatkan pertukaran bilik tanpa kebenaran.

Kesalahan lain melibatkan seorang pelajar yang sepatutnya menjalani kuarantin sebagai langkah berjaga-jaga terhadap Covid-19 didapati menceroboh kolej kediaman dan bermalam di salah satu bilik di sana.

Katanya ia adalah kesalahan serius dan mengancam kesihatan dan keselamatan penghuni lain.

Menurut Aldrin ia akan dirujuk kepada jawatankuasa tatatertib universiti. Mk

USM minta maaf ‘ugutan pindah’ pada penghuni asrama


   Baca Artikel Menarik

Layari Laman Facebook MYKMU NET


Pelajar USM bunuh diri.


Sebaran :

Leave a Reply