Vaksin : Muhyiddin dah nampak ‘cahaya di hujung terowong’
Perdana Menteri memberi bayangan penantian kerajaan untuk mencapai sasaran vaksinasi terhadap 80 peratus rakyat Malaysia mungkin dapat dicapai tidak lama lagi.
Kata Muhyiddin Yassin kerajaan telah membuat perjanjian untuk perolehan bekalan vaksin melebihi 100 peratus penduduk negara.
Bahkan katanya sasaran vaksinasi 80 peratus rakyat mungkin dicapai lebih awal – iaitu sebelum akhir tahun ini – berbanding jangkaan awal iaitu pada 2022.
“Isu sekarang bukan dapat ke tidak dapat bekalan, (tapi) bila nak sampai bekalan itu.
“[…] Saya dah diberi jaminan, saya pegang cakap menteri saya (Khairy Jamaluddin), dia kata sebelum akhir tahun dapat bekalan semua.
“Mungkin dapat awal sikit, supaya imuniti kelompok kita dapat capai 80 peratus yang sudah disuntik (vaksin) mungkin sebelum akhir tahun.
“Sekarang sudah bulan lima. Tak lama lagi.
“Jadi nak kata ‘terowong’ tu panjang sangat, tidaklah panjang. Cahaya tu dah nak dekat-dekat nampak dah, kalau ikut kiraan sayalah. Jadi kita akan sampai dalam tempoh masa itu,” katanya.
Ahli parlimen Pagoh itu berkata demikian dalam program Bicara Khas mengenai cabaran Covid-19 yang disiarkan secara langsung di RTM dan Bernama TV malam ini.
Sebelum itu Muhyiddin disoal moderator berkenaan dakwaan vaksin yang dianggap sebagai ‘sinar di hujung terowong’ dalam perang melawan Covid-19 dilihat melibatkan penantian yang terlalu panjang.
Kata Muhyiddin, dia dimaklumkan bahawa setakat ini hampir sejuta rakyat – termasuk dirinya sendiri – telah pun mendapat dua dos suntikan vaksin Covid-19.
Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) banyak diserang pengkritik kerana didakwa lambat dalam melancarkan pemvaksinan jika dibandingkan dengan negara-negara lain termasuk negara jiran.
Khairy yang merupakan pengerusi bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) sebelum ini beberapa kali menjelaskan bahawa meskipun kadar pemvaksinan semasa dilihat perlahan, ia akan meningkat pada bulan Jun, Julai dan Ogos.
Kata menteri sains, teknologi dan inovasi itu, ia memandangkan negara akan menerima peningkatan bekalan vaksin bermula bulan depan.
Malah kata menteri penyelaras PICK itu, dia yakin program vaksinasi akan dapat diselesaikan pada tahun ini. Mk
You must be logged in to post a comment.