Asyik berperang sama sendiri, Hadi Awang seru orang Arab lebih dalami Al-Quran
Kalau hendak diikutkan, negara-negara Arab adalah bumi para anbiya dan sangat dekat dengan Palestin berbanding Malaysia yang berada jauh di Timur.
Namun hairannya, mereka seakan berdiam diri ketika ketegangan dan keganasan memuncak di wilayah itu.
Bukan kali ini sahaja, tetapi sejak bertahun-tahun begitulah senarionya.
Sedangkan Nabi Muhammad pernah bersabda bahawa barang siapa yang melihat kemungkaran, cegahlah.
Bagi Datuk Seri Abdul Hadi Awang, umat Islam sendiri sebetulnya masih jahil dan kerana itu, mereka terus berpecah belah dan melakukan kekacauan bukan sahaja di negara sendiri malah di tempat orang.
“Dan mungkin musuh-musuh kita menggunakan kejahilan kita sendiri untuk menimbulkan masalah.
“Kekacauan di negeri sendiri hanya akan mengundang perang proksi, musuh datang negeri kita. Bukannya kita lawan musuh utama, tapi lawan sama sendiri. Dia boleh berniaga senjata pula,” kata beliau dalam Dialog Tiga Penjuru: ‘Di Sebalik Senyuman Hamza’ dihoskan oleh Nazri Kahar terbitan Astro AWANI pada Khamis.
Tegas Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu lagi, sepatutnya wang dan kekayaan yang dimiliki negara-negara Islam dimanfaatkan untuk menentang musuh utama iaitu rejim Zionis Israel.
Ini adalah sesuatu yang amat memalukan dan kata Abdul Hadi, kita perlu berubah.
“Paling utama adalah orang Arab sendiri, patut mereka lebih dekat dengan Islam dan Al-Quran. (Mereka) kena baca Al-Quran banyak-banyak sepatutnya,” ujar beliau.
Dalam mencari nokhtah kepada isu Palestin-Israel ini, penyelesaian dua negara dilihat sebagai jalan yang lebih munasabah daripada terus melupuskan Israel walaupun ia sebuah negara yang terbentuk secara haram.
Bagaimanapun, maklum Abdul Hadi, rejim Zionis terlalu angkuh untuk menerima cadangan tersebut dan sedaya upaya mahu menakluk seluruh bumi Palestin dan wujud sebagai negara tunggal di wilayah itu.
Maka untuk mendesak dan terus menekan rejim durjana itu, dunia Islam, tegas Abdul Hadi, perlu menolak ketidak sefahaman antara satu sama lain dan bersatu hati dalam perjuangan ini.
Katanya, selama ini dunia terlalu ‘mengagungkan’ Amerika Syarikat yang menjadi sekutu kuat Israel dan tindakan itu harus dihentikan.
“Hari ini yang paling menonjol menyokong Israel adalah Amerika dan negara Eropah. Apa salahnya negara Islam supaya bersatu jalinkan hubungan dengan negara yang bermusuh dengan Amerika?
“Jangan bergantung sangat dengan Amerika, bergantung kepada diri kita sendiri dan negara-negara yang tidak baik dengan Amerika, kita satukan,” kata beliau lagi.
Tonton Dialog Tiga Penjuru: ‘Di Sebalik Senyuman Hamza’ dihoskan oleh Nazri Kahar, di sini:
#SavePalestine: Syukur Dia Masih Hidup..Ashaq Jadi Tumpuan Sheikh Muszaphar
You must be logged in to post a comment.