Kesetiaan Tok Mat membawanya ke jawatan No. 1

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan adalah antara tiga calon utama untuk jawatan presiden parti itu dalam pemilihan tahun ini.

PETALING JAYA: Peluang terbaik Umno untuk memenangi pilihan raya umum depan ialah dengan parti itu menempatkan individu sesuai di kerusi pemandu Umno dan juga Barisan Nasional (BN), kata seorang penganalisis politik.

Bagi felo Majlis Profesor Negara, Jeniri Amir, “pemandu” paling sesuai ialah timbalan presiden parti itu, Mohamad Hasan, yang merupakan salah seorang daripada tiga calon ternama untuk jawatan presiden dalam pemilihan Umno tahun ini.

Dua lagi calon utama untuk jawatan itu ialah Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein dan Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.

Hishammuddin, bekas naib presiden Umno, merupakan “calon aristokrat” dalam parti itu kerana datuk beliau, Onn Jaafar merupakan pengasas Umno dan bapanya Hussein Onn adalah presidennya yang keempat.

Presiden UMNO : Siapa bakal tentang Zahid?

Jeniri Amir.

Ismail adalah seorang daripada naib presiden parti sekarang dan merupakan pemimpin Umno paling kanan dalam kerajaan. Beliau adalah menteri yang bertanggungjawab ke atas keselamatan.

Bagaimanapun kata Jeniri, Mohamad atau Tok Mat, yang tidak memegang jawatan dalam kerajaan, berkemungkinan besar akan muncul sebagai pilihan akar umbi untuk jawatan presiden Umno.

“Hishammuddin dan Ismail jelas lebih menonjol daripada Tok Mat, tetapi beliau adalah calon yang jauh lebih kuat,” katanya kepada FMT.

“Tok Mat dilihat lebih berwibawa, tetapi lebih penting, beliau seorang pemimpin yang setia dan bersih.

“Beliau tidak terpalit dengan apa-apa kontroversi sejak dahulu lagi, maupun dikaitkan dengan kerajaan semasa yang dikritik hebat, terutamanya berhubung cara ia mengendalikan pandemik Covid-19 dan perintah darurat.

Jeniri berkata, kenyataan Mohamad yang munasabah dan sederhana berhubung pelbagai isu nasional dan politik juga diterima baik di dalam dan juga di luar Umno.

“Namun bagi saya, faktor paling penting yang menyokong kedudukannya ialah kesetiaan beliau kepada parti.

Wan Agyl Wan Hassan.

“Beliau menawarkan diri sebagai pemimpin sewaktu Umno berada di kedudukan paling lemah. Ketika presiden parti itu Ahmad Zahid Hamidi bercuti, beliau tampil ke hadapan,” kata Jeniri.

Segerakan pemilihan Presiden UMNO selepas darurat tamat

Apabila Zahid memutuskan untuk kembali memimpin parti enam bulan kemudian, Mohamad segera memberi laluan tanpa menimbulkan sebarang masalah selepas memimpin Umno ke arah kemenangan dalam beberapa pilihan raya kecil yang diadakan.

“Saya fikir, keputusan Tok Mat menolak pelantikan ke dalam beberapa syarikat milik kerajaan juga penting. Dengan berbuat demikian, beliau boleh terus bersuara dan menyediakan semak dan imbang terhadap kerajaan.

“Rekod perkhidmatannya menunjukkan beliau meletakkan parti di hadapan. Saya fikir akar umbi Umno tidak akan melupakan perkara itu,” katanya.

Ketua Penerangan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Wan Agyl Wan Hassan berkata, beliau percaya faktor kesetiaan kepada parti akan menjadi kriteria utama pilihan akar umbi.

“Apabila melihat kepada Datuk Seri Najib Razak, saya fikir beliau telah ‘dikhianati’ selepas pilihan raya umum ke-14. Berhubung kes yang dihadapinya pula, terserah kepada mahkamah untuk membuat keputusan.”

 

 


Baca Artikel Menarik

Layari Laman Facebook My KMU NeT


Dengan segala kelonggaran, sebenarnya kita buat PKP ini untuk apa? – Najib Razak

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker