Lemang periuk kera jadi buruan setiap kali Aidilfitri
Lemang merupakan antara menu tradisi wajib dihidangkan di atas meja ketika sambutan lebaran di negara ini.
Jadi apabila sebut sahaja pasal lemang, sudah pasti kita akan terfikir mengenai juadah yang diperbuat daripada beras pulut dan santan yang dibakar di dalam buluh berlapik daun pisang.
Pengusaha, Noor Ashraf Mashal Khan bersama isterinya, Roziefa Abu Bakar menunjukkan lemang periuk kera yang telah siap dikukus dan tersedia untuk dihidang di Ampang, Selangor.
Namun ia sudah pasti berbeza dengan lemang periuk kera kerana tidak semua orang pernah merasai keunikan juadah tersebut.
Ini kerana pokok periuk kera itu sendiri agak sukar untuk ditemui berbanding daun pisang.
Pekerja swasta, Noor Ashraf Mashal Khan, 45, yang juga merupakan pemilik Lemang Periuk Kera Ampang berkata, dia sudah mengusahakan perniagaan itu sejak 14 tahun lalu bersama-sama isterinya, Roziefa Abu Bakar.
Pengusaha, Noor Ashraf Mashal Khan memeriksa lemang periuk kera yang telah dikukus selama dua jam bagi mendapatkan kualiti yang terbaik di Ampang, Selangor.
Menurut Noor Ashraf, memandangkan kedua-dua mereka merupakan anak jati Ampang, maka tercetus idea untuk merebut peluang perniagaan yang ada ketika musim perayaan sementara warga kota yang lain berpusu-pusu untuk pulang ke kampung halaman.
“Kami bermula dengan berniaga lemang buluh sejak tahun 2009 dan pada tahun tahun 2017 kita mula memperkenalkan lemang periuk kera kepada pelanggan.
“Syukur kerana sehingga kini permintaan terhadap lemang periuk kera masih mendapat sambutan yang hangat berikutan rasanya yang enak dan lemak masin serta teksturnya yang lembut.
“Kalau nak ikutkan lemang periuk kera ini jika makan sekali, mungkin hendak dua tiga kali lagi selepas itu jadi memang kena cuba sendiri,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette baru-baru ini.
Berkongsi lanjut, Noor Ashraf berkata, kelongsong periuk kera yang digunakannya dibeli daripada Orang Asli dari negeri Pahang.
Jelasnya, periuk kera yang sudah dipetik boleh bertahan kira-kira dua minggu jika disimpan dengan elok dan terhindar daripada cuaca yang panas.
Sebelum boleh digunakan untuk membuat lemang, Noor Ashraf berkata, kelongsong itu perlu dicuci dengan bersih menggunakan berus gigi bagi menghilangkan kesan tanah atau kekotoran.
“Kalau nak ikut dari segi selamat dimakan, insyaAllah selamat kerana kita pun cuci dengan bersih.
“Seperti yang pernah ditularkan sebelum ini mengatakan ada tupai serta kelawar yang kencing dan berak itu mungkin periuk kera dari spesies lain.
“Kita memang tunjuk sarung itu dibersihkan dengan menggunakan berus gigi kemudian barulah dimasukkan beras pulut dan dikukus sehingga masak jadi memang selamat,” ujarnya.
Ketika ditanya mengenai resipi lemang enak yang dihasilkannya, Noor Ashraf berkata, dia hanya menggunakan santan daripada kelapa muda yang tidak dicampur dengan air.
Selain itu, dia menggunakan pulut susu, susu cair dan dicampur dengan garam secukupr rasa.
“Jangan gunakan santan yang dicampur dengan terlampau banyak air kerana nanti kulit kelongsong periuk kera itu akan melekat pada pulut.
“Keistimewaan lemang yang kami hasilkan sama ada lemang buluh atau periuk kera adalah kepala santan yang agak tebal di permukaan lemang yang sudah siap dimasak jadi memang sangat enak dan berlemak. Itu yang sentiasa dicari-cari oleh pelanggan setia kami,” katanya.
Mengulas lanjut, Noor Ashraf berkata, sudah menjadi rutin buatnya dan isteri untuk berniaga di tapak gerai berhampiran Satay Station di Jalan Bukit Belacan seminggu sebelum sambutan hari raya Aidilfitri sehingga tamat bulan Syawal.
Katanya lagi, atas sambutan menggalakkan yang diterima daripada pelanggan, lemang yang dihasilkannya boleh terjual sehingga 3,000 batang sehingga penghujung hari raya.
“Lemang periuk kera pula tiga hari sebelum raya sehingga pagi raya kita boleh jual sehingga 2,000 biji dan dekat 10,000 biji boleh terjual dalam masa sebulan.
“Warga Ampang memang sudah tahu lemang kita termasuk mereka yang duduk di kawasan Cheras kerana ada pelanggan beritahu kami kalau tiada lemang periuk kera ibarat tidak lengkap juadah hari raya pertama,” ujarnya.
Noor Ashraf menjual lemang buluh digerainya dengan harga bermula dari RM13 hingga RM18 sementara sekilogram lemang periuk kera pula pada harga RM35.
Mereka turut menjual set lemang periuk kera iaitu sebanyak tiga biji yang didatangkan dengan rendang daging istimewa berharga RM13. MG
Baca Artikel Menarik
- Resepi Terung Goreng Berlada Sedap
- Rahsia Laksa Utara Padu & Pekat Style Orang Niaga
- Resepi Kek Marble Lembap
- Uqasha Dan Kamal Sudah Bernikah!
- Resepi Puding Agar Agar Karamel Tanpa Telur
- Resepi Rendang Daging Hari Raya
Layari Laman Facebook My KMU NeT
Jom Cuba Lemang Cawan Kukus Sangat Mudah, Tak Perlu Susah-Susah Nak Bakar!