Hentikan penguatkuasaan SOP ‘dua darjat’, gesa Pemuda PAS

Sebaran :

PUTRAJAYA: Pemuda PAS menyeru agar layanan ‘dua darjat’ dalam penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19 di negara ini dihentikan segera.

Layanan ‘dua darjat’ seperti itu sepatutnya tidak berlaku kerana kerajaan telah menggariskan SOP yang lengkap sebagai rujukan rakyat, kata Ketua Pemuda PAS Khairil Nizam Khirudin dalam kenyataan hari ini.

“Tetapi di mana silapnya? Ada ruang untuk agensi penguatkuasaaan kita tersalah tafsir?” soal beliau.

“Justeru (kami) memohon agar semua pemegang taruh yang bertanggungjawab menggariskan SOP ini dapat duduk bersama dan membincangkan dengan serius masalah ini.”

Khairil Nizam menggesa semua agensi penguatkuasaan bertindak dengan tegas dan telus serta menggunakan budi bicara yang penuh hikmah kepada semua pesalah, tanpa mengira darjat.

“(Ini) terutama pada mereka yang sengaja melanggar SOP,” tambah beliau.

Awal hari ini, usahawan dan selebriti terkenal, Neelofa dan suaminya, Haris Ismail yang juga dikenali sebagai PU Riz, masing-masing dilaporkan dikompaun RM20,000 dan RM10,000 atas kesalahan melanggar SOP perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Selain itu, 20 anggota keluarga Neelofa akan dikompaun RM1,500 seorang kerana gagal mematuhi peraturan penjarakan fizikal ketika menghadiri majlis akad nikah pasangan itu.r3f

Ini setelah sebulan siasatan dijalankan pihak berkuasa terhadap dakwaan pelanggaran SOP di majlis yang diadakan pada 27 Mac itu.

Kelmarin, masing-masing seorang peniaga burger dan peniaga colek dikompaun RM50,000 kerana beroperasi melebihi masa dalam tempoh pelaksanaan PKP di gerai masing-masing di Kelantan.

Ini menimbulkan rasa tidak puas hati warganet kerana dianggap wujud layanan tidak setara.

Kata Khairil Nizam dalam kenyataan hari ini, beliau yakin rakyat bersedia mematuhi SOP semaksimum mungkin, namun rakyat tidak boleh menerima ‘layanan terpilih’.

“Dalam pertarungan kita membendung Covid-19, kepercayaan dan sokongan rakyat adalah amat penting dan kritikal.

“Saya yakin kerajaan hari ini telah melaksanakan pelbagai strategi dan inisiatif untuk memutuskan rantaian Covid-19.

“Tetapi jika kita terus membiarkan isu ‘SOP dua darjat’ serta ketidakadilan ini berterusan, kita mungkin akan menemui titik kegagalan,” katanya.


Sebaran :

Leave a Reply