Pakistan bergelut ancaman penyakit bawaan air

Pakistan bergelut ancaman penyakit bawaan air

Islamabad: Belum pun reda dengan bencana banjir, Pakistan kini berdepan pula dengan ancaman penyakit bawaan air yang semakin merebak.

Ketika ini, pihak berkuasa negara itu sedang bertungkus lumus memastikan bekalan air minuman bersih kepada ratusan ribu mangsa yang kehilangan tempat tinggal dalam bencana itu.



Pihak berkuasa dan agensi bantuan Pakistan juga sedang berusaha mendapatkan kemudahan perubatan kepada ribuan wanita hamil daripada 33 juta mangsa yang terjejas akibat banjir.

Cirit-birit, penyakit kulit dan jangkitan mata merebak di kem bantuan yang ditubuhkan kerajaan di seluruh negara.

Lebih 90,000 kes cirit-birit dilaporkan dari salah satu wilayah Sindh yang paling teruk dilanda, dalam tempoh 24 jam, menurut laporan yang dikeluarkan oleh pegawai kesihatan.

Namun, penyakit itu juga dilaporkan dari kawasan lain yang dilanda banjir.



Mangsa banjir, Mundam Ali, 21, yang sedang hamil tujuh bulan berkata, dia mengalami sakit pinggang dan batuk.

“Saya tak ada pilihan terpaksa tinggal di kem bantuan kerana kampung saya masih ditenggelami air,” katanya yang berlindung di daerah Shikar Pur, Sindh.

Seorang doktor perubatan di Shikar Pur, Ramesh Kumar berkata, ramai mangsa banjir yang dirawat dengan kebanyakan mereka mempunyai penyakit bawaan air.

Menteri kesihatan wilayah, Dr Azra Fazal Pechuho berkata, hampir setengah juta pelarian banjir tinggal di kem-kem bantuan.



Katanya, unit perubatan mudah alih juga digunakan.

Pengarah agensi bantuan antarabangsa, Mercy Corps Pakistan, Farah Naureen berkata, penyakit bawaan air meningkat pada kadar yang lebih pantas dalam kalangan orang yang kehilangan tempat tinggal di kawasan dilanda banjir.

Katanya, kesihatan wanita juga perlu dititikberatkan.

“Kira-kira 73,000 wanita akan bersalin bulan depan dan mereka memerlukan pembantu kelahiran mahir, privasi dan kemudahan kelahiran atau survival ibu bersama bayi baru dilahirkan yang akan berdepan risiko,” katanya.



Menurut Menteri Pembasmian Kemiskinan, Shazia Marri, kerajaan menyedari masalah yang dihadapi wanita hamil dan kanak-kanak serta bertindak pantas untuk membantu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, mereka meningkatkan pengawasan untuk cirit-birit akut, taun dan penyakit berjangkit lain serta menyediakan bekalan perubatan kepada kemudahan kesihatan.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) berkata, lebih tiga juta kanak-kanak memerlukan bantuan kemanusiaan dan berisiko tinggi dijangkiti penyakit, lemas dan kekurangan zat makanan akibat banjir paling buruk dalam sejarah Pakistan.

Bencana itu turut merosakkan 17,566 sekolah.



Menurut Dana Penduduk PBB, 6.4 juta mangsa banjir di Pakistan memerlukan bantuan kemanusiaan.

Menurut anggaran awal kerajaan, kemusnahan itu menyebabkan AS$10 bilion (RM44.84 bilion).

Setakat ini, beberapa negara termasuk Turkiye, China, Qatar dan Arab Saudi sudah menghantar bantuan menggunakan pesawat kepada mangsa banjir di Pakistan.

Banjir kali ini dikaitkan dengan kesan perubahan iklim yang menyaksikan hujan monsun lebat dan lebih awal daripada biasa sejak Jun lalu.



Setakat ini, bencana terbabit meragut 1,191 nyawa dan menjejaskan 33 juta penduduk manakala kira-kira sejuta kediaman musnah atau mengalami kerosakan. HM

Pakistan bergelut ancaman penyakit bawaan air


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Karangan mengenai kemalangan, jadi kenyataan buat pelajar

Resepi Kuih Keria Antarabangsa Gula Melaka

Shila Amzah buat ‘perangai’ lagi

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker