Kartel Tender : 7 tahun kumpul harta haram


PUTRAJAYA – Wang tunai RM3.5 juta, dua helikopter persendirian, sebuah kapal layar dan pelbagai kenderaan mewah merupakan antara harta bernilai jutaan ringgit yang dirampas dan disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada sindiket kartel projek kelmarin.

Ia susulan penahanan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk bagi membantu siasatan berhubung kegiatan sindiket kartel projek-projek kerajaan bernilai RM3.8 bilion.

Sumber berkata, selain pelbagai jenis kenderaan mewah dan wang tunai jutaan ringgit, suspek utama berusia 47 tahun itu turut memiliki unit hartanah, kapal layar dan helikopter persendirian.

Antara kenderaan mewah yang disita termasuklah supercar jenis Ferrari 458, Porsche 911 dan Ford Mustang GT dengan nilai keseluruhan mencecah RM15.7 juta.



Difahamkan, dua buah helikopter yang dimiliki ahli perniagaan berkenaan adalah dari jenis Robinson R44 dan Robinson R66.

“Serbuan di rumah Datuk berkenaan yang terletak di Kuala Lumpur telah menemui wang tunai berjumlah RM3.5 juta.

“Selain itu, SPRM turut me­nyi­ta unit hartanah berupa banglo, rumah kedai dan pejabat bernilai RM29 juta dalam serbuan yang dilakukan sejak dua hari lalu,” kata sumber berkenaan.

Dalam pada itu, sumber turut memaklumkan sebanyak 644 akaun individu dan syarikat yang dianggarkan bernilai RM100 juta telah dibekukan.



Ia bagi membantu siasatan kes kartel monopoli tender kerajaan yang dipercayai telah ber­operasi sejak tahun 2014.

Menurut sumber, kartel projek yang diketuai oleh seorang ahli perniagaan itu telah membolot projek-projek kerajaan menerusi tender atau sebut harga bernilai lebih RM3.8 bilion.

Sindiket berkenaan dipercayai telah beroperasi selama tujuh tahun bermula tahun 2014.

“Kemewahan yang ditunjukkan oleh Datuk yang merupakan ketua sindiket ini amat luar biasa. Selain memiliki hartanah dan wang tunai, suspek juga mempunyai beberapa kereta mewah selain kapal mewah dan dua buah helikopter,” katanya.



Menurut sumber lagi, ketua kartel projek itu mengawal lebih 150 buah syarikat dengan setiap individu yang digunakan nama sebagai pengarah syarikat dibayar gaji antara RM5,000 hingga RM8,000.

“Syarikat-syarikat ini adalah milik suspek dengan seramai 114 orang telah digunakan nama mereka untuk membuka lebih daripada 150 buah syarikat.

“Kesemua syarikat ini akan digunakan secara bergilir-gilir untuk memasuki tender di kementerian dan agensi kerajaan sebelum maklumat tender termasuk spesifikasi serta harga siling projek disalurkan oleh individu dalam kementerian atau agensi,” katanya.

Katanya, hasil siasatan SPRM mendapati hampir kesemua syarikat berkenaan menggunakan maklumat palsu dari segi kelayakan akademik, sijil profesio­nal mahupun penyata kewangan untuk meyakinkan lembaga tender berhubung keupayaan syarikat untuk melaksanakan projek.



Kosmo! semalam melaporkan kegiatan haram sekumpulan tujuh lelaki terlibat dengan satu sindiket kartel projek-projek kerajaan bernilai RM3.8 bilion terbongkar apabila semua termasuk ketua diberkas SPRM kelmarin. K Online

Lim Guan Eng dah kantoi baru nak cakap



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker