‘Tak sangka adik ditembak’
Kuantan: Keluarga pengamal perubatan tradisional yang ditembak di rumah sewa di Perumahan Bukit Rangin Perdana 2, di sini, semalam, tidak menyangka kejadian itu boleh berlaku.
Abang mangsa, Mohammad Redzuan Nasri, 37, berkata, pada hari kejadian, dia hanya lalu di depan rumah berkenaan.
Katanya, kali terakhir berjumpa arwah ialah tiga hari lalu tetapi mereka tidak bertegur sapa dan tiada sebarang perubahan yang dilihat.
“Bagaimanapun, saya terkejut apabila dimaklumkan adik meninggal dunia di rumah dan sememangnya ahli keluarga tidak sangka kejadian ini berlaku kepada arwah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Dalam kejadian semalam, dendam dipercayai motif pembunuhan Mohamad Abdul Rahim Nasri, 31, yang juga pengamal perubatan.
Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat seorang lelaki tidak sedarkan diri akibat kecederaan di kepala dan kesan darah kering pada jam 11 malam.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku di rumah kampung jenis papan yang terletak kira-kira 20 meter dari jalan utama dan 100 meter dari rumah jiran terdekat.
“Mangsa mati disyaki ditembak kerana ada beberapa kesan tembakan pada badan hasil pemeriksaan dijalankan pasukan siasatan dan forensik.
“Hasil siasatan disyaki bermotifkan dendam dan marah kepada mangsa. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK),” katanya. HM
Koperal dipercayai tembak anak sebelum tembak diri sendiri
You must be logged in to post a comment.