Jawatankuasa bersama Malaysia-Singapura dibentuk bincang perjalanan udara

PUTRAJAYA: Sebuah jawatankuasa bersama antara Malaysia dan Singapura akan dibentuk untuk membincangkan mengenai isu perjalanan udara kerana kedua-dua negara sedang berusaha mencari jalan bagi pemulihan perjalanan rentas sempadan, akibat sekatan pergerakan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata jawatankuasa bersama itu diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Isham Ishak dan Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Singapura, Loh Ngai Seng.
“Mereka sedang membincangkan tentang bagaimana untuk mempercepat proses, protokol, perakuan yang diperlukan, misalnya, pasport vaksin atau sebarang dokumen yang boleh diterima pakai di kedua-dua negara,”
katanya kepada wartawan setelah memberi taklimat mengenai pengembangan Jajaran Utara projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), di sini hari ini.
Wee berkata perbincangan itu juga akan menumpukan pada syarikat penerbangan yang dibenar membawa penumpang dan kapasiti penumpang.
“Pada peringkat awal ini, kapasiti penumpang perlu diuruskan dan ia tidak boleh dibuka kepada semua,” katanya.
Pada 23 Mac lepas, Malaysia dan Singapura menegaskan komitmen mereka untuk merealisasikan secepat mungkin perjalanan antara kedua-dua negara.
Kedua-dua negara antara lain mencari cara untuk memperakukan sijil vaksinasi COVID-19 masing-masing bagi memudahkan perjalanan rentas sempadan antara kedua-dua negara pada masa depan.
BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker