Lapan NGO belia mahu kempen boikot calon PRU 65 tahun ke atas

PUTRAJAYA: Lapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) be­lia bergabung untuk menggerakkan gelombang besar-besaran bagi mengajak pengundi memboikot calon yang berusia lebih 65 tahun dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Langkah itu dibuat sebagai tindak balas terhadap tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangguhkan pelaksa­naan pendaftaran untuk pe­ngundi berusia 18 tahun.

Gelombang dalam skala besar itu akan dibuat menerusi kempen dan dalam platform media sosial bagi mengajak go­longan belia yang layak me­ngundi untuk memilih calon yang berusia di bawah umur 65 tahun.

Bercakap kepada Utusan Ma­laysia, jurucakap gabu­ngan berkenaan, Fahami Ashraf Ba­­haruddin memberitahu, de­­sakan itu dibuat setelah mengambil kira situasi politik semasa negara yang dipimpin kelompok gerontocracy atau generasi usia tua.

“Kami bertekad mengge­rak­kan gelombang dalam skala besar bagi memberi tekanan supaya golongan belia hanya mengundi calon parti bawah umur 65 tahun,” katanya semalam.

Setakat ini antara NGO yang menyertai gabungan itu ialah Keilmuan Nasional, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Gerakan Belia India Muslim Malaysia, Majlis Belia India Malaysia, Majlis Belia Hindu Malaysia, Majlis Belia Perak dan Majlis Belia Wilayah Persekutuan.

Fahami Ashraf yang juga pemangku Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia dan Ketua Aktivis Majlis Belia Malaysia (MBM) berkata, mereka mahu tindakan ‘peremajaan’ legislatif kerana ia lebih munasabah serta mengikis gejala politik naungan orang lama.

Tok Mat: ‘Kepala pemimpin Umno mesti sejuk, jangan keluar api’

“Lebih 1.2 juta belia berumur 18 tahun hingga 20 tahun perlu diberi peluang memilih wakil rakyat selaras dengan hak yang diberikan dalam Akta Umur Dewasa 1971 sendiri,” tegasnya.

Menurut Fahami, gabungan itu juga bercadang untuk menghantar memorandum kepada Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung kebenaran pendaftaran pengundi berusia 18 tahun.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Negeri Perak, Aswannudin Hariffudin berkata, pihaknya tidak menafikan hak golongan 65 tahun ke atas tetapi sebagai calon, hanya memohon golongan muda diberi peluang bersama-sama mentadbir negara.

Katanya, kebanyakan ahli parlimen sudah memasuki usia 65 tahun ke atas, namun mustahil sekiranya tiada langsung penduduk Malaysia terutama orang muda yang layak menjadi ahli parlimen atau ahli dewan undangan negeri.

“Sudah tiba masa generasi baharu iaitu generasi muda bersama-sama dalam Parlimen mahu pun dewan undangan negeri sebagai pembuat dasar.

“Sepatutnya pentadbiran kerajaan perlu membuat konsep peralihan, perlu adanya pelapis kepimpinan, baharulah adanya had umur dalam pentadbiran,” katanya.

Exco Kelab Belia Great Tawau, Mohammad Fauzi Acho berkata, wakil rakyat berusia 65 tahun masih menganggap mereka relevan untuk menjadi calon pilihan raya.

Menurut beliau, belia pada masa ini relevan untuk menjadi calon kerana mereka lebih profesional, tidak membawa unsur diskriminasi serta rasisme dalam membawa naratif politik yang baharu.

“Pendekatan ini adalah lebih baik dan mendatangkan manfaat pembangunan modal insan serta ekonomi kepada negara jika belia menjadi calon pemimpin negara pada PRU akan datang,” katanya.

‘Lilin bakar diri’ – Zahid hurai falsafah setia Umno

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker