Tok Mat: 'Kepala pemimpin Umno mesti sejuk, jangan keluar api' — MYKMU.NET

Tok Mat: ‘Kepala pemimpin Umno mesti sejuk, jangan keluar api’



Sebaran :

Pemimpin Umno dinasihatkan supaya berhenti mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan dalam parti itu, kata Timbalan Presidennya Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau menegaskan pada waktu ini adalah tempoh bertenang, dan pemimpin sepatutnya lebih bijak ketika membuat kenyataan.

“Saya minta pemimpin-pemimpin parti jangan buat kenyataan yang boleh mengeruhkan lagi suasana, berehatlah sekejap, tolong, tak boleh jadi garam, jangan jadi langau media sosial ke, tolong hentikannya.



“Walaupun dalam ini (dada) banyak api, tapi kepala mesti sejuk, sebagai pemimpin, kepala mesti sejuk jangan keluar api,” katanya kepada pemberita selepas Program Isi Minyak Percuma dan Santai Anak Muda serta Kempen Mari Daftar Vaksin Covid-19 di Seremban, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad berkata menteri dan timbalan menteri Umno sepatutnya bertemu dengan kepemimpinan tertinggi parti terlebih dahulu bagi mendapatkan pandangan mengenai kedudukan mereka dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau menyifatkan tindakan membuat keputusan tanpa meminta panduan daripada kepimpinan tertinggi parti itu, merupakan kepincangan dalam kebijaksanaan.



“Kita tidak suruh pun menteri letak jawatan pada hari yang sama, kalau ya pun nak letak jawatan, jumpa kepemimpinan parti, jumpa saya sekurang-kurangnya, saya akan nasihatkan dahulu yang sebetulnya,” katanya.

Pada 31 Mac lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata semua menteri daripada Umno akan terus kekal berada dalam Kabinet, selepas kesepakatan susulan pertemuan bersama menteri daripada Umno yang meminta nasihat berhubung kedudukan mereka dalam Kabinet.

Mengulas mengenai pemilihan Umno Mohamad berkata, keputusan untuk menyegerakan pemilihan parti itu ketika ini akan membawa kepada perpecahan, dan ia seolah-olah memberi ‘peluru’ kepada parti lawan selain turut mendatangkan ‘kecederaan’ pada parti.



“Kita tak boleh kata tak ada, dari segi pengurusan parti, kita ada garis masa, kita tidak pula kata mahu tangguh sampai 18 bulan, itu sebabnya kita ikut turutan parti bahawa kita nak lihat Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan pada Ogos,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau itu bagaimanapun berkata, Umno juga tidak akan menunggu sehingga tempoh 18 bulan untuk mengadakan pemilihan, malah Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga memaklumkan, ia boleh dilaksanakan selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Ditanya sama ada beliau akan mempertahankan jawatannya dalam Umno apabila pemilihan parti diadakan Mohamad berkata, keutamaannya ketika ini adalah hanyalah untuk menghadapi PRU-15.



Sementara itu, Mohamad berkata agenda untuk memperkasakan Muafakat Nasional (MN) masih diteruskan, sekali gus mahu kerjasama itu kekal.

– Bernama


Sebaran :


Leave a Reply