KERAJAAN CADANG BERI AZMIN PERLINDUNGAN HAK KEBEBASAN PERIBADI

Semalam Menteri Undang-undang Kerajaan PH Liew Vui Keong berkata bahawa kerajaan bercadang untuk menggubal undang-undang berkenaan “intrusion of privacy” atau gangguan terhadap hak kebebasan peribadi.

Menurut Menteri PH ini, beliau lihat penularan video seks yang dikaitkan dengan seorang lagi Menteri PH iaitu Azmin Ali adalah gangguan terhadap kebebasan peribadi (iaitu kebebasan peribadi kepada pelaku-pelaku dalam video seks tersebut).

Sebenarnya tidak perlu ijazah undang-undang untuk menghidu tahi lembu waima yang datang dari seorang menteri seperti di atas.

Saya ingin berkata kepada Menteri Undang-undang PH ini: Seseorang itu tidak lagi boleh berselindung di belakang hak kebebasan peribadi apabila perkara yang dilakukannya adalah sesuatu jenayah walaupun ianya adalah jenayah suka sama suka di tempat tersorok.



Jika perbuatan itu bukan jenayah namun hanya memalukan yang dilakukan di tempat tertutup, maka pelaku mempunyai hak kebebasan peribadi, namun hak ini hilang dan tidak tertakluk untuk perbuatan-perbuatan jenayah.

Jika seseorang atau pasangannya meliwat, curang dan melakukan persetubuhan dengan bukan isteri atau suaminya, melakukan seks luar tabii, mengedar dadah atau melakukan jenayah-jenayah lain di tempat tersorok seperti dalam bilik hotelnya, penjenayah itu tidak boleh kata itu hak kebebasan peribadinya.

Perlakuan-perlakuan di atas masih termaktub sebagai kesalahan jenayah di bawah undang-undang negara walau di mana ia dilakukan di Malaysia.

Jika kita buat undang-undang untuk membenarkan jenayah di tempat-tempat peribadi dan tersorok, tak perlulah ada undang-undang sebab hampir semua penjenayah buat kerja jenayah mereka di tempat-tempat tersembunyi dan tersorok dari saksi-saksi awam.



Alasan Menteri PH untuk mencadangkan undang-undang ini kononnya adalah untuk melindungi kanak-kanak dan wanita.

Jika kanak-kanak terlibat, telah ada peruntukan undang-undang lain untuk melindungi mereka.

Dan yang melakukan jenayah di dalam video seks yang tular tersebut adalah bukan kanak-kanak atau wanita, ia adalah lelaki-lelaki dewasa dan seorang dikatakan bertaraf menteri.

Dan bagaimanakah undang-undang ini boleh melindungi wanita apabila ia menggalakkan lagi suami-suami mereka untuk berlaku curang terhadap mereka dengan orang lain?



Rakyat ingin tahu siapakah yang sebenarnya pelaku-pelaku jenayah yang melakukan perbuatan terkutuk dalam video itu dan adakah benar ianya Menteri yang bertanggungjawab ke atas kebajikan mereka dan kepada ekonomi negara yang sedang huru hara kini.

Oleh itu siasatlah ketulenan video itu dan cari dan tentukan pelaku-pelaku di dalamnya.

Bukannya siasat kes penularannya pula dan gubal pula undang-undang baru untuk melindungi pelaku-pelaku jenayah tersebut.

Rakyat bukan mahu kerajaan cari jalan untuk melindung dan ‘cover up’ pelaku-pelaku jenayah tersebut dengan membuat undang-undang baru memberikan hak kebebasan peribadi kepada penjenayah-penjenayah untuk mereka lebih galak melakukan jenayah di tempat tersorok.



Inikah Malaysia Baharu versi PH yang mereka perjuangkan selama ini?

Jika inilah dia keadaannya, kita bubar sahajalah Parlimen dan buat pilihanraya yang baru.

Sebab saya tidak mahu lebih lama kita tunggu lebih banyak kerosakan berlaku sehingga Tuhan menurunkan bala kepada kita semua pula nanti kerana bersubahat atau tidak berbuat sesuatu.

Allah selamatkanlah Malaysia.



ISHAM JALIL
19 Jun 2019
PAGE FB

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker