Senarai pemenang Ketua Bahagian UMNO Kedah diumumkan

Senarai pemenang Ketua Bahagian UMNO Kedah diumumkan

ALOR SETAR: Pengiraan undi pemilihan UMNO Bahagian Sik terpaksa dilakukan tiga kali selepas pemenangnya Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim hanya menang tipis majoriti satu undi menewaskan penyandangnya Datuk Mohd Tajuddin Abdullah.

Setiausaha UMNO negeri, Datuk Ariffin Man, berkata keputusan rasmi bahagian itu diumumkan hampir jam 3 pagi apabila Muhamad Khizri memperoleh 229 undi manakala Mohd Tajudin 228 undi.

“Pemilihan keseluruhan UMNO di 15 bahagian di Kedah semalam berjalan lancar, kecuali pengiraan semula di bahagian Sik dan gangguan teknikal kecil di bahagian Merbok. Semua keputusan diumumkan antara petang semalam dan awal pagi ini.

“Bahagian terakhir yang mengumumkan keputusan rasmi ialah Sik, hampir jam 3 pagi hari ini kerana pengiraan semula dilakukan hampir tiga kali kerana majoriti satu undi untuk jawatan ketua bahagian,” katanya pada sidang media di ibu pejabat UMNO negeri di sini, hari ini.

Ariffin berkata dua lagi calon, bekas Ahli Parlimen Sik Dr Mansor Abdul Rahman memperoleh enam undi dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri Mahadzir Abdul Hamid mendapat 43 undi.

Sementara itu, mengenai isu pemilihan bahagian Merbok, Ariffin menjelaskan terdapat aduan berhubung pertindihan kertas undi bagi jawatan ketua bahagian berkenaan.

Katanya, dua kertas undi untuk jawatan ketua bahagian secara tidak sengaja dilekatkan bersama dalam satu set kertas undi.

“Oleh itu, jawatankuasa pemilihan bahagian memutuskan bahawa ia hanya isu teknikal kecil dan terus mengisytiharkan pemenang berdasarkan 11 undi majoriti yang sah.

“Calon yang kalah boleh mengemukakan aduannya kepada parti kemudian jika dia berasa tidak berpuas hati dengan keputusan rasmi,” katanya.

Ariffin berkata Ketua Penerangan Umno Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin diumumkan sebagai pemenang selepas memperoleh 253 undi berbanding penyandangnya Annuar Ahmad memperoleh 242 undi.

Difahamkan, Annuar bercadang untuk memfailkan bantahan berhubung keputusan itu.

Ariffin berkata selain Khizry dan Shaiful, seorang lagi ketua bahagian baharu yang dipilih pada pemilihan parti semalam ialah anak bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib yang memenangi jawatan ketua bahagian Langkawi dengan majoriti 12 undi.

“Dua lagi muka baharu dalam barisan ketua bahagian ialah Datuk Aminuddin Omar di Kubang Pasu dan Datuk Muthalib Harun di Kuala Kedah.

“Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang membuat penampilan semula juga menang jawatan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar.

“Bekas Naib Presiden UMNO (Datuk Seri Mahdzir Khalid) pula mengekalkan jawatannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Padang Terap tanpa bertanding,” katanya.

Di Jerai, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengekalkan jawatannya selepas menang dalam pertempuran empat penjuru.

Tujuh lagi penyandang yang berjaya mengenepi lawan mereka untuk mengekalkan jawatan ketua bahagian ialah Datuk Seri Abdul Azeez Rahim (Baling); Datuk Suraya Yaacob (Pendang); Datuk Othman Aziz (Jerlun); Datuk Said Ali Syed Rastan (Pokok Sena), Datuk Muhar Hussain (Kulim-Bandar Baharu), Datuk Shahanim Yusof (Sungai Petani) dan Datuk Asmadi Abu Talib (Padang Serai).

Sementara itu, Muhamad Khizri yang dipetik melalui laman Facebooknya berkata beliau menerima amanah yang diberikan oleh perwakilan dengan penuh rasa tanggungjawab dan insaf.

“Apa yang saya sebut sepanjang beberapa minggu lalu perlu saya tunaikan tanpa gagal. Terima kasih dan penghargaan kepada para perwakilan yang memberikan kepercayaan untuk saya memikul peranan besar ini demi agama bangsa dan negara.

“Kita akan bersama-sama memastikan parti kita kembali mendapat tempat, mandat dan diterima semua lapisan masyarakat,” katanya. BH

Senarai pemenang Ketua Bahagian UMNO Kedah diumumkan

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Uqasha kesal dituduh pembuli zaman sekolah

Pelanggan mabuk pukul pekerja Restoren Pelita [VIDEO]

Checklist Ramadhan Yang Patut Diamalkan

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker