Tahniah!! Syamel, Ernie Zakri Kini Suami Isteri
Pasangan penyanyi popular, Syamel, 28, dan Ernie Zakri, 29, sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz pada majlis pernikahan yang berlangsung di Masjid Puncak Alam, Selangor, jam 10.30 pagi, hari ini.
Pasangan itu dinikahkan jurunikah, Ustaz Zainal dengan berwalikan bapa pengantin perempuan, Zakri Ahmad.
Pada majlis itu, Syamel atau nama sebenarnya Syameel Aqmal Mohd Fodzly menyerahkan mas kahwin RM300 dan seutas gelang tangan berlian berserta lima dulang hantaran. Pihak Ernie pula membalas dengan tujuh dulang.
Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri berkata, majlis diadakan secara tertutup dengan dihadiri 20 ahli keluarga saja bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Alhamdulillah, majlis berjalan lancar dengan mematuhi SOP ditetapkan. Terima kasih atas doa semua dan sokongan diberikan kepada saya dan suami. Doakan semoga fasa baharu dalam kehidupan kami ini juga dipermudahkan,” katanya kepada Harian Metro.
Majlis itu dikendalikan perancang perkahwinan The Wedding Herritage (TWH) bertemakan Melayu Klasik.
Difahamkan pasangan itu mulai rapat selepas terbabit dalam program Duo Star terbitan Astro pada 2017. Ketika itu Syamel dan Ernie menjadi pasangan duet dan mereka juga muncul juara dalam program itu.
Mereka kemudiannya muncul dengan single duet berjudul Aku Cinta sekali gus melayakkan mereka menang kategori Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL 32) pada 2018.
Mereka akhirnya mengikat tali pertunangan pada 15 Ogos tahun lalu.
You must be logged in to post a comment.