Setelah setahun berkuasa, masa depan Muhyiddin tergantung pada Umno

 

PETALING JAYA: Muhyiddin Yassin bertahan selama setahun berkuasa. Sama ada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinannya akan bertahan setahun lagi bergantung kepada kerjasamanya dengan Umno, menurut penganalisis politik.

Bridget Welsh dari University of Nottingham Malaysia berkata, kerajaan Muhyiddin bermula dengan kuat, dipuji-puji atas caranya menangani wabak Covid-19 dan ekonomi.

Namun, semuanya berubah selepas pilihan raya Sabah pada Sept 2020 yang mengakibatkan gelombang ketiga jangkitan Covid-19, dengan jumlah jangkitan baharu harian mencecah empat angka, disertai dengan kadar kematian lebih tinggi.

“Kita melihat banyak ketegangan politik daripada dalam pakatan beliau sendiri, dan juga semacam kegagalan menggunakan ‘tempoh bulan madunya’ untuk menangani masalah penjagaan kesihatan dan ekonomi dengan berkesan,” kata Welsh kepada FMT.

Bridget Welsh.

Walaupun apa-apa sahaja boleh berlaku memandangkan situasi politik yang tidak stabil ketika ini, Welsh berkata, ada kemungkinan perdana menteri akan berusaha untuk membentuk pakatan lain untuk terus memegang kuasa.

“Fakta bahawa beliau harus mengisytiharkan darurat adalah liabiliti buat beliau dari segi politik, tetapi cabaran terbesar Muhyiddin bukan datangnya daripada Pakatan Harapan (PH). Ia datang daripada Umno,” katanya.

Oh Ei Sun, felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, juga berkata bahawa daya maju pakatan semasa yang memerintah “sangat bergantung kepada niat Umno”.

Oh Ei Sun.

Kerajaan PN dihujani kritikan sepanjang beberapa bulan lalu, terutamanya atas “tindak balas pentadbirannya yang bercelaru dan terburu-buru”.

Oh berkata, sekiranya Umno memutuskan hubungan dengan PPBM, maka kita mungkin akan melihat pakatan kerajaan baharu yang “ditunjangi, malah diterajui Umno, seperti yang diinginkannya sepanjang setahun yang lalu”.

Beliau berkata, Umno dan PAS memperoleh lebih daripada 75% undi orang Melayu, jadi mereka mempunyai asas sokongan yang kuat.

Keputusan mengenai hubungan Umno dengan PPBM dijangka akan dibuat ketika perhimpunan agung tahunan parti itu, yang dijadualkan pada 27-28 Mac.

Walaupun umum menjangka pilihan raya kilat akan diadakan tahun ini, Oh meramalkan sebaliknya kerana PPBM memerlukan lebih masa untuk “meraih sokongan”.

Azmi Hassan.

Bekas ahli akademik Azmi Hassan menambah bahawa faktor besar lain bagi kelangsungan PN adalah pendekatannya dalam “menundukkan” Umno.

Katanya, PPBM harus memikirkan kembali strategi politiknya, setelah ia mengecewakan Umno dengan menyasarkan kerusi milik parti itu pada pilihan raya umum akan datang (PRU15).

“PPBM lebih memerlukan Umno berbanding Umno memerlukannya. Saya melihat Umno tidak akan ada keraguan untuk bergerak solo, jadi PPBM harus lebih banyak berkorban untuk menjamin masa depannya selepas PRU15,” kata Azmi.

Beliau menambah, Muhyiddin dan PPBM harus membuat keputusan yang lebih sukar pada tahun-tahun akan datang, terutamanya kerana mereka sekali lagi akan diperiksa di Parlimen.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker