Polis bongkar makmal proses dadah dalam minuman dan serbuk jus

ACP Soffian Santong (tengah)

19/02/2021 02:43 PM

GEORGE TOWN, 19 Feb — Polis membongkar makmal memproses dadah yang dicampur dalam minuman dan serbuk jus sebelum dibungkus semula serta merampas pelbagai dadah bernilai RM77,318 dalam serbuan di sebuah kondomonium mewah, Lebuh Sungai Pinang di sini, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata bertindak hasil maklumat dan risikan yang dijalankan sepasukan polis menyerbu kondominium itu pada 2.40 pagi sebelum menahan seorang lelaki berusia 20 tahun dan merampas sejumlah dadah.

“Polis kemudiannya memeriksa sebuah unit kondominium di situ dan berjaya membongkar makmal memproses dadah serta menahan teman wanitanya berusia 21 tahun.

“Dalam pemeriksaan di rumah pasangan kekasih itu, polis merampas 2,396 gram (g) methylenedioxy-methamphetamine (MDMA), 338.5 g (ketamin), 576 biji pil ecstacy dan 390 pil erimin 5 serta pelbagai pek minuman jus buah-buahan segera dan minuman bertenaga yang semuanya bernilai RM77,318,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya berdasarkan siasatan awal, suspek lelaki itu berperanan sebagai penghantar dadah yang menerima upah antara RM500 hingga RM800 setiap kali membuat penghantaran di beberapa lokasi dan kondominium mewah berkenaan disewa oleh abang suspek yang berusia 20-an yang sedang diburu polis.

Soffian berkata modus operandi sindiket itu ialah menjadikan kondominium tersebut sebagai tempat memproses dadah, membungkus dan menyimpan semua bahan terlarang berkenaan sejak awal Januari lepas dan dadah berkenaan dijual di sekitar negeri ini.

“Sindiket itu sangat licik kerana setiap ahlinya mempunyai peranan masing-masing malah mereka tidak pernah berjumpa antara satu sama lain dan hanya berhubung melalui aplikasi WeChat ..misalnya lelaki yang ditahan itu, dia hanya penghantar dadah dan tidak pernah memproses bahan terlarang tersebut.

“Terdapat seorang lagi lelaki yang berperanan memproses dadah di kondominium itu dan setiap kali dia datang ke situ pasangan kekasih tersebut akan keluar serta tidak boleh berjumpa. Supek juga memaklumkan dia tidak pernah berjumpa dengan ketua sindiket mereka serta menerima arahan menerusi WeChat termasuk mengambil duit ditinggalkan pembeli dadah di beberapa lokasi tertentu seperti di bawah tayar kereta di kawasan parkir kenderaan,” katanya.

Menurut Soffian sindiket berkenaan memproses dadah jenis MDMA dengan mencampurkan dalam serbuk minuman segera dan menjual kepada pelanggan yang mahu berpesta liar berikutan pusat hiburan masih belum dibuka ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang ini.

Katanya, setiap bungkusan minuman segera yang dicampur dengan dadah itu dijual pada harga RM180 dan suspek lelaki yang ditahan tersebut mampu mengaut keuntungan sehingga RM20,000 setiap bulan.

“Polis turut menyita sebuah kereta bernilai RM58,500 serta wang tunai sebanyak RM1,100, pasangan kekasih yang kini direman selama enam hari bagi membantu siasatan,” katanya menambah polis juga sedang mengesan beberapa lagi ahli sindiket termasuk dalang utamanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

— BERNAMA

Leave a Reply