[VIDEO] Proses Ayam Satu Tangan · MYKMU.NET

[VIDEO] Proses Ayam Satu Tangan

Share

Dengan memakai baju berlengan panjang ketika bekerja di premis memproses ayam di sini, tiada sesiapa yang mengetahui keadaan fizikalnya yang memakai tangan palsu.

Bagaimanapun, Rusdi Yusoff, 56, yang kudung tangan kiri hampir ke paras siku tidak menjadikan kecacatan itu sebagai penghalang untuk bekerja demi sesuap nasi.

Dia yang sudah bekerja di premis itu sejak 20 tahun lalu berkata, dia tidak kekok untuk melakukan tugasan diberikan walaupun banyak bergantung kepada tangan kanannya.

“Pada peringkat awal kerja dahulu memang agak sukar kerana saya hanya bergantung kepada sebelah tangan, tapi apabila memakai tangan palsu sekurang-kurangnya ia dapat membantu saya bekerja.

“Bagaimanapun keadaan tangan palsu ini sudah semakin uzur dan banyak yang saya baiki sendiri termasuk mengikatnya dengan tali,” katanya ketika ditemui ketika ditemui di tempat memproses ayam di Cabang Empat Binjai, di sini, semalam.

Rusdi berkata, tangan palsu yang sedang digunakan kini disumbang seorang penderma lima tahun lalu pada harga mencecah RM10,000.

Rusdi yang mempunyai lima anak berkata, cubaan untuk mengebom ikan ketika berusia 17 tahun menyebabkan dia kehilangan tangan kirinya.

 

Namun, dia tidak pernah berputus asa dan melakukan pelbagai pekerjaan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Saya pernah bekerja di kedai makan di Kuala Lumpur sebelum kembali ke kampung halaman di Kampung Machang Limbat, di sini dan bekerja dengan sebuah premis makanan segera, selain menternak burung puyuh, ayam dan ikan.

“Bagaimanapun, pekerjaan itu agak sukar dilakukan sendirian menyebabkan saya memutuskan untuk bekerja dengan orang lain sebelum meminta kerja di sini (tempat memproses ayam), diam tak diam sudah 20 tahun kekal
di sini,” katanya yang dibayar gaji antara RM40 hingga RM50 sehari.

Rosdi berkata, majikan yang bertolak ansur serta jenis kerja yang sesuai dengan kemampuannya menyebabkan dia bertahan dengan pekerjaan itu.

Katanya, dia juga kerap mengambil cuti disebabkan kesihatannya yang tidak mengizinkan selain terpaksa menguruskan isterinya, Rosmawati Jusoh, 46 yang terlantar akibat penyakit buah pinggang selain masalah penglihatan, skizofrenia dan diserang sawan.

“Tiga anak sudah bekerja tetapi hanya kerja kampung sahaja, manakala seorang lagi mencari rezeki di Kuala Lumpur sementara yang bongsu masih belajar di Tingkatan Enam.

“Sebelum keluar bekerja saya perlu menguruskan isteri terlebih dahulu dengan menyediakan makan minumnya dan mengelap tubuhnya.

“Tugas itu disambung anak bongsu selepas dia pulang dari sekolah,” katanya.-HM

Menteri PH Cap Ayam – Najib

Leave a Reply