Polis Kelantan tahan suami isteri lari dari ujian Covid-19


Polis Kelantan menahan semula pasangan suami suami yang melarikan diri ketika ujian saringan Covid-19 dibuat ke atas mereka di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai pada Jumaat.

Ketua Polis Kelantan DCP Shafien Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan telefon dari Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) yang memaklumkan kedua-dua suspek dari komuniti Orang Asli Temiar berada di Laloh, Kuala Krai, pada jam 5.30 petang semalam.

Menurutnya, susulan itu polis mengesan dan menjumpai pasangan itu di sebuah pondok di sekitar Sungai Sam di sana.

“Pasangan Orang Asli itu kemudiannya memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dibawa semula ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.

“Mereka di bawa ke hospital untuk menjalani ujian saringan Covid-19 dan dikuarantin sehingga keputusan diperolehi,” katanya dalam kenyataan.

Shafien berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988 dan Seksyen 270 Kanun Keseksaan (bagi kesalahan berhubung penyakit berjangkit yang berbahaya kepada nyawa).

Terdahulu, media melaporkan polis menerima laporan berkenaan perkara itu daripada seorang jururawat di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai kira-kira jam 9.30 malam Jumaat lalu.

Pasangan itu dilaporkan sepatutnya menjalani ujian saringan Covid-19 selepas bayi perempuan mereka yang berusia 25 hari disahkan positif Covid-19.

Difahamkan, kakitangan yang bertugas di wad kecemasan hospital itu menyedari ibu kepada bayi yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Bayi (Nicu) itu menghilangkan diri kerana takut untuk menjalani ujian saringan tersebut.

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini. Mk

Leave a Reply