Suami isteri ditahan polis miliki AK-47 di Kuala Krai

Polis menahan sepasang suami isteri dan merampas selaras senjata api jenis AK-47 bersama 142 butir peluru dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Bahagia, Kuala Krai, Ahad lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota pada pukul 3.10 pagi selepas menerima maklumat daripada orang awam.

Beliau berkata hasil serbuan, pasangan suami isteri berumur 50 tahun telah ditahan dan hasil pemeriksaan di dalam rumah menemukan sepucuk senjata api jenis AK-47 bersama 142 butir peluru iaitu 16 butir peluru 5.56 mm dan 126 butir peluru penabur 12 Bore.

“Kedua-dua individu yang ditahan adalah penduduk tempatan di situ. Siasatan awal suspek mengaku memiliki senjata api itu sejak lima tahun lepas yang diberikan oleh seorang lelaki berasal dari Tanah Merah.

“Suspek mendakwa senjata api itu digunakan bagi menembak haiwan liar seperti gajah yang sering memasuki kebun getahnya. Setakat ini, suspek mengaku sudah menembak dua ekor gajah dengan senjata api itu,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Menurutnya, pasangan berkenaan ditahan polis kerana kesalahan memiliki senjata api tanpa lesen atau permit dan kali terakhir menggunakan senjata itu dua tahun lepas.

Jelasnya, siasatan lanjut akan dijalankan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara, denda dan sebatan.

“Ujian air kencing yang dijalankan mendapati kedua-duanya adalah negatif dadah.

“Polis juga akan menyiasat lebih lanjut termasuklah mengesan lelaki Cina dikenali sebagai ‘Su’ yang memberikan senjata itu serta membekalkan peluru dengan harga RM15 sebutir,” katanya.

Shafien berkata kedua-dua suspek ditahan reman bermula 13 hingga 19 Dis ini untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes juga akan dirujuk kepada Jabatan Perhilitan Kelantan berkaitan pengakuan suspek yang menembak gajah. BERNAMA

Miliki 20 senapang patah, warga emas ditahan polis

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker