KWSP i-Sinar: Jangan sampai gadai maruah
Exco Pergerakan Pemuda UMNO meminta semua ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menolak Belanjawan 2021 jika permintaan rakyat berhubung pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lanjutan moratorium gagal ditunaikan kerajaan.
Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo mengingatkan ahli-ahli Parlimen BN supaya berprinsip dengan kenyataan yang dibuat sebelum ini.
”Bila UMNO hilang kuasa, kita hilang maruah, bila kita ada kuasa walaupun bukan sepenuhnya dalam kerajaan ini janganlah kita gadaikan maruah parti keramat UMNO dengan tidak memperdulikan nasib rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menyifatkan pengundian Belanjawan 2021 yang akan berlangsung di Parlimen adalah satu ujian perjuangan antara kesetiaan dan pengkhianatan.
UMNO menerusi Pergerakan Pemuda UMNO masih memperjuangkan agar program i-Sinar yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2021 membenarkan para pencarum KWSP yang memerlukan wang itu demi kelangsungan kehidupan akibat terjejas pandemik Covid-19 dibenarkan mengeluarkan wang caruman tanpa syarat.
Perjuangan itu dibuat selepas KWSP mengenakan kriteria-kriteria tertentu bagi membenarkan pengeluaran i-Sinar dibuat. MG