PBB bimbang rampasan kuasa tentera burukkan krisis Rohingya di Myanmar

 

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) khuatir rampasan kuasa oleh tentera di Myanmar bakal memburukkan kedudukan kira-kira 600,000 etnik Rohingya yang masih berada di negara itu.

Menurut jurucakap PBB, Stephane Dujarric, terdapat kira-kira 600,000 Rohingya yang masih berada di Rakhine, Myanmar, termasuk 120,000 yang ditahan dalam kem pelarian.

“Mereka ini tidak boleh bebas bergerak dan memiliki akses terhad terhadap keperluan kesihatan asas dan pendidikan.

“Kebimbangan kami adalah perkembangan ini (rampasan kuasa) akan memburukkan keadaan buat mereka,” katanya kepada wartawan semalam.

Tentera Myanmar melakukan rampasan kuasa daripada kerajaan Aung San Suu Kyi yang dipilih secara demokratik semalam.

Majlis Keselamatan PBB (UNSC) yang dianggotai 15 negara merancang berbincang mengenai perkembangan terbaru di Myanmar itu dalam sidang tertutup hari ini, kata seorang diplomat.

Wakil UNSC melawat Myanmar pada April 2018 dan bertemu Aung San Suu Kyi serta Min Aung Hlaing secara berasingan, susulan beberapa tindakan keras terhadap etnik Rohingya. – AGENSI

Leave a Reply