Lebih baik UMNO bergabung dengan musuh tradisi daripada dihina
UMNO sudah sepatutnya memulakan usaha untuk membina jajaran baharu dengan parti-parti yang mempunyai kerusi Parlimen terbanyak.
Cara ini lebih mulia untuk UMNO daripada dihina dan dianggap hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong.
Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo berkata, walaupun UMNO mungkin disalaherti kerana bergabung dengan musuh tradisi tetapi UMNO masih mempunyai harga diri.
Mohamad Khir berkata, UMNO tersilap kerana membentuk Kerajaan Perikatan Nasional dengan parti-parti yang kecil bilangan kerusi Parlimen seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan kumpulan lompat parti.
Namun, beliau akui, rakyat tetap akan menyalahkan UMNO kerana tanpa UMNO, Kerajaan Perikatan Nasional tidak terbentuk.
”Hari ini, parti besar ini pula dalam situasi hidung dah lah tak macung , pipi pula yang disorong sorong. Orang dah tak mahu kita pula terlebih meminta,” katanya dalam kenyataan di sini.
Tambahnya, UMNO yang sudah hilang maruah, jangan pula harga perjuangan yang bersisa ini digadaikan.
Tegasnya, jika kerajaan baharu melalui pembentukan jajaran baharu ini stabil dan berjaya membawa negara keluar dari situasi yang sangat mendesak dan bahaya maka tuduhan khianat perjuangan itu akan lenyap dengan sendirinya.
Malah, UMNO akan tetap dilihat bermaruah sebagai parti yang membela rakyat dan negara.
Mohamad Khir menambah, Kerajaan Perikatan Nasional pada hari ini merupakan sebuah kerajaan yang sangat lemah dan keadaan ini tidak memberi sebarang kebaikan pada masa depan negara.
Pelabur dan pengusaha luar tidak mungkin yakin dengan situasi politik dalam negara yang membolehkan mereka membuat pelaburan dalam negara.
Sedangkan sebagai sebuah negara yang kecil ekonominya, Malaysia sangat bergantung kepada pelaburan asing untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.
Pastinya dengan ketiadaan pelaburan asing akan melumpuhkan ekonomi negara ini.
Tambahan pula sumber kewangan dalam negara sangat terhad dan dalam situasi kritikal sekarang, sumber itu telah dan akan digunakan untuk perkara mendesak seperti pencegahan Covid-19 dan mencegah rakyat daripada mengharungi kelaparan.
Kebergantungan kerajaan kepada Petronas dan simpanan dalam negara tidak akan bertahan lama.
”Suka atau tidak ,negara memerlukan suntikan pelaburan asing dan negara memerlukan syarikat besar antarabangsa membuka kilang dan membolehkan rakyat mendapat peluang pekerjaan seterusnya memperoleh pendapatan sendiri,” ujarnya.
Namun, katanya, dalam usaha menarik pelabur, kerajaan yang memimpin negara ini mesti kuat dan mendapat keyakinan dari pelabur pelabur luar.
Sebagai rakyat sama ada pemimpin atau rakyat biasa mesti berusaha ke arah ini demi menyelamatkan diri sendiri dan negara.
Untuk menyerahkan kepada rakyat tanggungjawab ini melalui PRU15 ketika berdepan dengan Covid-19 adalah jalan keluar terakhir.
Veteran UMNO itu juga membayangkan, PRU15 akan menghasilkan keputusan sama seperti PRU lepas – tidak ada parti yang menang besar dan mampu tubuh kerajaan baharu tanpa berkongsi kuasa dengan parti-parti lain.
”PRU itu tidak akan selesaikan masalah kepimpinan dan kerajaan yang dibentuk sama saja seperti yang ada hari ini. Sebenarnya negara kita memerlukan kerajaan baru yang kuat, stabil dan inklusif sifatnya,’ tambah beliau’. MG