Politik Melayu di tahap ‘paling kotor dan berpecah’

Politik Melayu kini berada dalam keadaan sangat berpecah-belah sejak beberapa dekad dan tidak ada pemimpin yang dapat menyatukan mereka, kata ahli sosiologi Syed Farid Alatas.

Beliau berkata, usaha menuntut integriti perlu datang daripada rakyat sendiri.

Farid juga tidak bersetuju dengan dakwaan Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau mampu menarik sokongan orang Melayu kepada Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum akan datang, dengan berkata, Mahathir mungkin telah kehilangan peluang untuk melakukan penyatuan selepas pentadbirannya jatuh hanya selepas 22 bulan pada Feb.

“Mahathir memainkan peranan yang penting dalam pilihan raya umum ke-14, tetapi hanya sebagai faktor penyatuan untuk meningkatkan kesedaran rakyat mengenai isu 1MDB. Kini, ia tidak lagi penting,” katanya.

Farid, yang juga merupakan seorang profesor di Universiti Nasional Singapura berkata, orangMelayu sejak bertahun-tahun mendengar pemimpin mereka bercakap mengenai bangsa dan agama, tetapi “kini mereka tahu sukar untuk mempercayai ahli politik.

“Ahli politik tidak bercakap untuk kebaikan rakyat (tetapi untuk diri mereka sendiri). Ini adalah kejutan besar kepada mereka (rakyat),” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, kesedaran dalam kalangan orang Melayu bermula pada Feb dengan jatuhnya PH dan politik “rampasan kuasa” oleh ahli politik bagi meraih kepentingan di bawah Perikatan Nasional, sekali gus membawa kepada defisit kepercayaan.

Beliau berkata, rakyat Malaysia memberikan kepada PH mandat untuk mentadbir negara selama lima tahun, tetapi gabungan itu gagal menyatukan negara.

“Ia menunjukkan bahawa ia adalah berkaitan keuntungan diri, bukannya untuk rakyat (kerana mereka gagal bersatu).”

Bahkan Farid turut mempersoalkan sama ada rakyat akan keluar mengundi sekali lagi seperti yang mereka lakukan pada pilihan raya lalu, berikutan hilangnya kepercayaan kepada ahli politik.

Berhubung PN, beliau berkata, gabungan politik itu kini berdepan defisit kepercayaan yang besar kerana Umno masih mempunyai bagasi rasuahnya, manakala PPBM pula hilang kepercayaan rakyat apabila ia berganding bahu dengan parti politik yang ditentangnya ketika pilihan raya umum lalu.

Beliau berkata, PAS juga bermain politik antara Muafakat Nasional (MN) dan PN, iaitu bergabung dengan Umno dalam satu gabungan dan dengan PPBM dalam gabungan lain.

Farid juga mengakui politik orang Melayu tidak akan mengganggu perjalanan negara kerana perkhidmatan awam masih beroperasi, tetapi ia memberi kesan kepada pelabur jangka sederhana dan panjang.

“Mereka tidak tahu apakah akan berlaku perubahan kerajaan yang boleh mengakibatkan perubahan dasar,” katanya.

Beliau turut berharap orang Melayu akan dapat melihat sisi “hodoh” politik kaum dan agama dalam kedua-dua gabungan itu, serta menuntut pemimpin lebih baik dipilih untuk kebaikan negara.

Beliau berkata, usaha memilih pemimpin berprinsip harus datang daripada rakyat berdasarkan polisi, bukan berasaskan bangsa atau agama.

“Ini akan mewujudkan perpaduan antara etnik” katanya, selain menambah bahawa rakyat Malaysia perlu memilih mereka yang berjuang untuk semua, bukannya kaum tertentu,” katanya.

Dalam gabungan kerajaan, UMNO dan PPBM terus berselisih mengenai isu pembahagian kerusi dan kedudukan lebih baik dalam Kabinet, yang menimbulkan perbalahan antara mereka.

PAS pula cuba berbaik-baik dengan kedua-dua belah pihak dengan harapan untuk memperoleh kuasa politik di seluruh negara.

Penganalisis politik, Zahiruddin Othman dari Universiti Utara Malaysia pula berkata, ia mungkin pandangan peribadi Mahathir apabila berkata, PH memerlukannya bagi mendapatkan sokongan orang Melayu.

Beliau berkata, hakikatnya semua parti politik di negara ini kini berpecah dan memerlukan satu sama lain bagi mendapatkan lebih banyak kerusi.

“Kita sudah melihat kejatuhan PH dalam tempoh hanya 22 bulan dan sekarang ini kita melihat gabungan kerajaan mentadbir negara dengan kelebihan hanya dengan majoriti tiga kerusi,” kata Zahiruddin.

Tambahnya, ahli politik hanya boleh menyalahkan diri sendiri atas masalah yang berlaku dan tidak menuding jari kepada rakyat. FMT

Melayu berpecah, namun siapa puncanya – Dr Shamsul

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker