Nasi Dagang Percuma Setiap Hari

SHAH ALAM – Kesedaran me­ngenai kesusahan yang dialami oleh sebahagian besar rakyat ketika ini mendorong seorang pemilik restoran untuk memberi nasi dagang secara percuma setiap hari kepada mereka yang memerlukan.

Pemilik Restoran Eddiey Mokku dan Katering, Zunaidi Abdullah berkata, inisiatif yang dimulakan sejak November lalu itu tercetus daripada peristiwa seorang wanita yang tidak mampu membeli nasi dagang kerana kekurangan wang.

Katanya, wanita berkenaan ada datang ke restorannya untuk membeli sebungkus nasi dagang namun membatalkannya sebelum beredar akibat kekurangan wang.

SEBAHAGIAN orang awam yang mengambil nasi dagang daripada Restoran Eddiey Mokku dan Katering di Taman Mutiara Subang, Shah Alam baru-baru ini.

“Saya cuba memanggilnya bagi memberikan nasi dagang percuma, namun wanita terus beredar dan bertolak daripada kejadian itu, tercetusnya inisiatif ini bagi membantu mereka yang kurang berkemampuan.

“Setiap hari saya meletakkan sehingga 10 bungkus nasi dagang percuma di hadapan restoran untuk kumpulan tersebut,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Zunaidi memberitahu, dia menggunakan medium akaun rasmi Twitter restorannya dalam memaklumkan kepada umum mengenai projek tersebut agar bermanfaat kepada semua orang.

“Ada hari, bungkusan nasi dagang yang disediakan khusus untuk projek ini tidak habis dan saya meminta mereka yang susah tidak segan dan malu untuk mengambil makanan percuma ini.

“Ini saya lakukan bagi berkongsi rezeki yang diperoleh saya bersama mereka,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Zunaidi berkata, dia turut bekerjasama dengan dua buah persatuan iaitu Persatuan Penggerak Lembah Subang dan Persatuan Tangan Emas Bak dalam menyalurkan sumbangan makanan percuma kepada penduduk di sekitar Program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang, Petaling Jaya dan sekitar Shah Alam.

“Sebanyak 200 bungkus nasi dagang akan diberikan kepada dua persatuan tersebut hasil sumbangan dirinya dan orang awam yang ingin turut sama menyertai projek tersebut.

“Mereka yang ingin bersa­ma membantu boleh menya­lurkan sumbangan kepada akaun Maybank Restoran Eddiey Mokku Katering bernombor 562272630295,” katanya.

11 Tempat Makan Best Di Shah Alam

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker