Dua pusat karaoke beroperasi semasa PKPB diserbu
KUALA LUMPUR: Polis menyerbu dua pusat karaoke di Jalan Imbi dan Jalan Gelang di sini, kerana didapati menjalankan operasi perniagaan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), semalam dan awal pagi tadi.
Dalam serbuan pertama terhadap pusat karaoke di Jalan Imbi, di sini, seramai 19 pengunjung warga tempatan dan 10 wanita pelayan pelanggan (GRO) warga asing iaitu enam warga Vietnam dan dua masing-masing warga Thailand dan Indonesia diperiksa.
Dalam serbuan pada jam 6.30 petang itu, seorang penjaga premis dan tiga pekerja lelaki warga Myanmar turut diperiksa.
Semua yang diperiksa berusia dalam lingkungan 28 hingga 68 tahun.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata semakan mendapati premis berkenaan mempunyai lesen hiburan yang sah dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Seramai 14 orang lelaki dan enam wanita warga tempatan dikompaun mengikut Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.8) (Pindaan) (No.4) 2020.
“Sembilan GRO warga asing iaitu enam warga Vietnam, dua warga Indonesia dan seorang warga Thailand ditahan mengikut Sekyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana pas lawatan tamat tempoh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya lagi, tiga pekerja Myanmar dan seorang lagi GRO warga Thailand pula ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas yang sah memasuki negara ini.
“Serbuan ke atas pusat karaoke kedua di Jalan Gelang pada jam 1 pagi dan dalam serbuan itu, seramai 18 pengunjung warga tempatan termasuk seorang remaja bawah umur berusia 13 tahun dan seorang warga Myanmar diperiksa.
“Turut diperiksa, seorang penjaga pusat karaoke dan tiga pekerja warga tempatan. Semua yang diperiksa berusia dalam lingkungan 13 hingga 43 tahun,” katanya.
Beliau berkata, semakan mendapati premis berkenaan mempunyai lesen hiburan yang sah.
“Seramai 19 warga tempatan terdiri daripada 15 lelaki dan 4 wanita warga tempatan dikompaun mengikut Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.8) (Pindaan) (No.4) 2020.
“Seorang pengunjung warga Myanmar ditahan mengikut Sekyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas yang sah memasuki Malaysia,” jelas beliau.
Katanya, pihak polis memohon kerjasama daripada orang ramai, warga asing dan pengusaha pusat hiburan di sekitar ibu negara supaya terus mematuhi PKPB bagi mengelak dikenakan tindakan.