Bayi diserang monyet liar

Johor Bahru: “Zara asyik menangis dan saya terpaksa tidurkannya secara meniarap supaya tidak terasa sangat sakit itu,” kata Siti Nur Asikin Sulaiman, 42, berhubung insiden monyet liar mencakar belakang badan bayinya sehingga cedera.

Siti Nur Asikin adalah ibu kepada bayi perempuan, Aisyah Nur Zara Mohd Azmi, lima bulan, berkata kejadian berlaku pada 11.0 pagi Ahad lalu.

Menurutnya, ketika itu dia berada di dapur bagi menyiapkan susu bayinya manakala mangsa baharu sahaja bangun tidur dan sudah pandai meniarap.

“Saya meletakkannya di atas katil di bilik tidur utama sebelum pergi ke dapur dan ketika itu, dua lagi anak lelaki berusia 15 tahun (anak kedua) dan lapan tahun (anak ketiga) ada di rumah.



“Anak ketiga saya pada ketika itu berada di ruangan utama menonton televisyen sebelum secara tiba-tiba Zara menjerit dan menangis.

“Saya bergegas ke bilik untuk mendapatkannya dan terkejut apabila melihat seekor monyet liar masuk melalui tingkap bilik dan duduk di atas belakang badan bayi saya yang saiznya lebih kurang sama sambil mencakarnya.

“Apabila cuba menghalaunya termasuk menggunakan batang penyapu, monyet itu seakan menarik tangan bayi saya mahu membawanya lari,” katanya yang menetap di Taman Nusa Damai, dekat sini, ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, ketika itu dia hanya memikirkan untuk menyelamatkan bayinya dan ada jiran sebelah rumah yang membantu menghalau haiwan berkenaan.



Katanya, sejurus selepas itu, dia cuba menenangkan dan mendukungnya sehinggalah perasan baju bayinya terkoyak dan ada kesan darah.

“Ketika kejadian, suami saya bekerja dan berada di luar kawasan, jadi saya terus memandu kereta ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan.

“Selain itu, jiran saya membuat aduan secara dalam talian di laman web Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada hari sama.

“Kejadian menimpa bayi saya adalah pertama kali. Namun, insiden kehadiran monyet liar di kawasan perumahan ini bukanlah pertama kali berlaku,” katanya.



Menurutnya, doktor memaklumkan Zara terpaksa ditahan 14 hari sejak Ahad lalu berikutan tengkuk serta badannya luka.

Katanya, kuku binatang itu berkuman manakala antibodi bayi tidak kuat menyebabkan doktor memberikannya dos vaksin rabies untuk merawatnya.

“Luluh hati saya melihat keadaan Zara yang tidak boleh terlentang, jadi saya tidurkannya di atas badan saya secara meniarap.

“Pada Oktober lalu, penduduk pernah membuat aduan mengenai kehadiran sekumpulan monyet di kediaman mereka, selain mendakwa monyet liar ada menyelongkar tong sampah untuk mencari makanan termasuk ada insiden ia memakan haiwan peliharaan penduduk seperti arnab.



“Kakitangan ada hadir sehari tiga kali sejak insiden itu bagi menjalankan pemantauan termasuk memasang perangkap. Namun, belum ada tangkapan monyet dilakukan. Kumpulan haiwan liar itu tinggal di sekitar kawasan belukar kira-kira 300 meter dari kawasan rumah penduduk,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Johor, Salman Saaban ketika dihubungi mengesahkan menerima aduan berhubung kejadian berkenaan.

“Kami sudah menjalankan pemantauan dan mengambil tindakan segera sebaik sahaja menerima maklumat berkaitan perkara ini.

“Menurut siasatan awal, terdapat tiga kera yang disyaki terbabit dan berkeliaran di kawasan itu.



“Seekor daripadanya sudah ditangkap, selain pihak jabatan akan terus memasang perangkap di kawasan berkenaan dan memburu kera terbabit untuk dilupuskan kerana sudah mendatangkan ancaman keselamatan kepada orang ramai,” katanya. HM

Monyet berswafoto dengan telefon pintar yang dilarikannya (video)



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker