Teliti kemungkinan tubuh kerajaan minoriti, pelbagai parti pasca PRU-15

Parti dan ahli politik, sama ada dalam Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) perlu mula meneliti kemungkinan kewujudan kerajaan minoriti atau kerajaan pelbagai parti pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pakar Perlembagaan, Prof Dr Shamrahayu Ab Aziz, berkata keadaan itu mungkin berlaku sekiranya pihak yang menang dalam PRU-15 hanya memiliki majoriti tipis seperti kerajaan sekarang, atau di bawah angka majoriti 112.

Sekiranya keadaan itu berlaku dan kerajaan ditubuhkan seperti ketika ini, katanya, ia akan menyukarkan kelicinan kerajaan kerana pentadbiran boleh digugat dan berubah bila-bila masa, selain boleh ditekan oleh parti yang membentuk kerajaan.

“Gabungan yang longgar akan memberi kesan kepada kekuatan kerajaan. Ramai kata pilihan raya adalah pilihan terbaik ketika ini, dan ia perlu dilakukan apabila COVID-19 terkawal.

“Namun apa akan berlaku jika keputusannya tipis seperti sekarang, atau kerajaan hanya menang 111 kerusi dan pembangkang miliki 109 kerusi?

“Jika keputusan pilihan raya tipis, parti dan ahli politik perlu fikirkan untuk menstabilkan kerajaan, iaitu dengan mewujudkan kerajaan minoriti atau kerajaan dengan sistem pelbagai parti.

“Namun, walau apa juga bentuk kerajaan pasca PRU-15, Perdana Menteri yang dipilih tetap perlu mendapat (sokongan) majoriti ahli Dewan Rakyat,” katanya dalam program Naratif Pengukuhan Kenegaraan Malaysia anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.


Shamrahayu berpandangan, situasi politik Malaysia ketika ini adalah transisi transisi kepada perkembangan baharu dalam konteks politik kepartian di negara.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya benar berlakunya majoriti tipis atau kemenangan di bawah majoriti pasca PRU-15, beliau percaya situasi itu akan menguji keampuhan Perlembagaan Persekutuan dalam mengimbangi tuntutan demokrasi dengan kelancaran perjalanan pentadbiran negara.

“Contohnya, sekarang kita lihat ada pihak yang berulang kali mengatakan memiliki sokongan yang cukup untuk membentuk kerajaan.

“Demokrasi memang membenarkan, namun, kita perlu meletakkan titik noktah pada perkara ini. Jika Malaysia terpaksa mewujudkan kerajaan minoriti, perkara seperti ini tidak boleh berlaku secara kerap kerana ia akan beri kesan pada perjalanan pentadbiran kerajaan dan ekonomi negara,” katanya.

Mengambil contoh United Kingdom, Shamrahayu berkata, undang-undang negara itu memperuntukkan pembentukan kerajaan secara kekal sepanjang penggal pentadbirannya, sekali gus tiada pertukaran kerajaan boleh berlaku sebelum PRU diadakan.

“Keperluan ini perlu diteliti, selaras perkembangan semasa kerajaan. Namun, pindaan akta berkaitan kerajaan ‘fixed term’ ini belum dikaji dengan baik.

“Bagaimanapun, saya cenderung ke arah perubahan ini untuk berdepan isu pembentukan kerajaan pasca PRU-15, kerana kerajaan yang dilantik nanti boleh menumpukan perhatian, tiada pertukaran kerajaan ditengah penggal dan semua pihak tahu tarikh pilihan raya akan datang,” katanya. BH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker