10 tan sarung tangan bernilai RM250,000 dikebas pencuri

Pemilik syarikat sarung tangan kerugian RM250,000 selepas 10 tan sarung tangan getah yang disimpan dalam sebuah gudang di Penaga, di sini hilang disyaki dicuri dalam kejadian pecah gudang, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata kehilangan barangan itu disedari pemiliknya berusia 39 tahun selepas lelaki berkenaan datang ke gudang itu dan mendapati beberapa cermin tingkap jenis nako serta pintu stor menyimpan dan memproses sarung tangan getah terbuka.

“Lelaki itu kemudianya membuat pemeriksaan dalam gudang sebelum mendapati 10 tan sarung tangan getah yang dibeli terus daripada pengilang secara pukal dan sudah diasingkan serta dipek dalam plastik untuk dijual kepada pembeli telah hilang.

Menurut pemilik syarikat itu, setiap satu tan sarung tangan tersebut dibeli pada harga RM25,000 dan beliau mengalami kerugian kira-kira RM250,000 akibat kejadian berkenaan dan insiden ini merupakan kali kedua dengan kejadian pertama dia tidak dilaporkan kerana membabitkan kerugian yang sedikit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.



Katanya siasatan awal mendapati terdapat empat tingkap jenis cermin dan tiga batang besi dikopak manakala pintu utama premis terbuka dan pencuri dipercayai keluar melalui pintu kecil di bahagian belakang premis kerana mangga yang dipasang di situ tidak ditemukan di lokasi kejadian.

“Gudang itu tiada pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) dan seramai lima orang bekerja di situ yang beroperasi setiap Isnin hingga Sabtu dari pukul 9 pagi hingga 6 petang. Kami kini giat memburu mereka yang terlibat dalam kejadian tersebut,” katanya.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menyalurkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan.
Bernama

Harga saham pengeluar sarung tangan jatuh mendadak



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker