Harga saham pengeluar sarung tangan jatuh mendadak

KUALA LUMPUR: Kemerosotan saham pengeluar sarung tangan Malaysia adalah begitu mendalam minggu ini selepas Macquarie Bank Ltd menurunkan unjuran terhadap Top Glove Corp, menyebabkan pasaran saham tempatan menghampiri kepada pembetulan teknikal.

Walaupun saham pembuat sarung tangan getah terbesar di dunia itu meningkat semula hari ini, ia masih susut 20 peratus bagi minggu ini, sekali gus mencatatkan kejatuhan mingguan terbesarnya, dengan Macquarie menyatakan kebimbangan bahawa pendapatannya mungkin sudah mencapai kemuncak.

Untuk tempoh itu, Hartalega Holdings Bhd pula merosot 14 peratus, menyebabkan penurunan indeks penanda aras pasaran saham tempatan sekitar 10 peratus daripada paras tertingginya tahun ini.



“Kami percaya kemuncak pendapatan tahun kewangan 2021 tidak mungkin berulang setelah persamaan permintaan-penawaran berlaku pada separuh kedua 2021 atau separuh pertama 2022,” kata Penganalisis Macquarie, Prem Jearajasingam dalam laporan bertajuk ‘Waktu untuk melepaskan sarung tangan’.

Beliau menurunkan saranannya terhadap saham itu kepada ‘underperform’ daripada ‘outperform’.

Pembuat sarung tangan memacu rali dalam saham Malaysia pada awal tahun ini kerana permintaan global untuk pakaian pelindung meningkat berikutan wabak COVID-19.

Kini, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) hampir mencapai pembetulan teknikal, jatuh 7.5 peratus selepas mencapai paras tertinggi bagi tahun ini pada 29 Julai lalu.



Pengurus Dana Northcape Capital Ltd, Ross Cameron bagaimanapun berkata, penurunan unjuran oleh Macquarie terhadap Top Glove sangat pelik dan tidak ada kaitan antara kemajuan asas dan kejatuhan dalam harga saham.

“Kami menambah (saham) Top Glove minggu ini,” katanya.

Firma itu memantau kira-kira AS$7 bilion aset di peringkat global.

Top Glove membelanjakan RM99.9 juta membeli balik sahamnya sendiri semalam, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.



Saham Top Glove, yang mencatatkan terbaik dalam indeks FBM KLCI tahun ini, merosot 20 peratus bulan ini berikutan perkembangan vaksin COVID-19.

Hartalega pula susut 27 peratus.

Indeks penanda aras melepasi paras bawah purata pergerakan 100 hari untuk pertama kalinya sejak Januari pada Rabu lalu.

“Keyakinan terhadap vaksin dan penilaian berlebihan mungkin menjadi penyebab utama bagi pengambilan untung dalam pembuat sarung tangan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Areca Capital Sdn Bhd, Danny Wong.



-Bloomberg

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker