Pergolakan politik Perak, satu ujian kepada MN – Dewan Ulama Pas

Kerjasama politik antara UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) masih baharu dan kini perpaduan di antara mereka sedang diuji apabila pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perak bergolak.

Menurut Ketua Penerangan, Dewan Ulama Pas Pusat, Mohd Nor Hamzah, ketika inilah dua parti Melayu Islam terbesar itu perlu memperkuatkan perpaduan dan menunjukkan reaksi yang rasional.

“Muafakat masih muda dan perpaduan yang sangat mencabar perlu disemai dengan reaksi yang rasional. Sifat marah mesti dipadamkan. Emosi mesti dikawal.

“Perteguhkan muafakat ummah untuk merebahkan musuh di pintu kegagalan penguasaannya dalam politik negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan sokongan terhadap Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad untuk dilantik sebagai Menteri Besar baharu Perak dilihat semakin kukuh.

Ia boleh dilihat apabila jumlah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak yang dipercayai menandatangani akuan bersumpah (SD) kini meningkat hampir 30 orang.

Dalam pada itu, Pas tidak menyalahkan mana-mana pihak yang memberi pelbagai reaksi selepas Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hilang majoriti dalam kalangan ADUN Perak dalam usul undi percaya terhadap Menteri Besar Perak itu minggu lalu.

“Situasi di Perak mengundang berbagai reaksi dan andaian. Ini kerana ia adalah permasalahan yang merungsingkan banyak pihak.

“Walaupun demikian, kita mesti bergerak atas matlamat yang telah ditetapkan dan halatuju yang telah disusun,” katanya.

Dewan Ulamak Pas Pusat juga menggesa semua pihak khususnya UMNO dan Pas kembali ke meja rundingan bagi memperkukuhkan MN yang kini adalah satu kejayaan yang dicemburui oleh musuh.

“Perikatan Nasional merupakan satu kekuatan yang digeruni oleh lawan. Jangan dengan sebab apa-apa kesilapan, ia memberi peluang kepada DAP dan sekutunya (PH) berjaya membina semula menara kekuasaan yang membuahkan kekecewaan kepada ummah,” katanya lagi. MG

Tak ada siapa yang mahu cerai, Erra Fazira

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker