Pelancong UK terkandas zahir penghargaan cara Malaysia tangani COVID-19

KUALA LUMPUR, 12 Julai — Di sebalik tuduhan negatif terhadap pihak berkuasa Malaysia kononnya telah menganiaya rakyat asing semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan untuk memutuskan rantaian COVID-19, beberapa warga asing telah melihat sisi positif dan memuji tindakan pihak berkuasa membendung virus maut itu.

Seorang daripadanya, usahawan dalam talian dan YouTuber dari United Kingdom (UK) Darren Cronian melalui salurannya (Remote Darren) telah memberikan komen mengenai inisiatif Malaysia dan kerajaan, dalam menangani krisis itu.

Menerusi video lapan minit yang dimuat naik, Cronian berkongsi pengalamannya ketika terkandas di Malaysia hampir 11 minggu, bersendirian dalam apartmennya berdepan pandemik itu di negara asing.

Video Cronian mencatat hampir 13,000 tontonan dalam tempoh enam jam sejak dia memuat naik di YouTube. Videonya turut dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah di Facebook hari ini.

Menurut lelaki Inggeris berusia 46 tahun itu, beliau kagum bagaimana pihak berkuasa tempatan mengendalikan situasi itu dengan melaksanakan PKP di negeri berbeza dan mengurangkan pergerakan rakyat.

“Apabila saya melihat Malaysia melaksanakan tindakan, sedangkan UK perniagaannya masih dibuka, saya buat keputusan, saya kuatkan semangat (komited) tinggal di sini untuk menempuhnya, tanpa mengira berapa lama masa yang diambil.

“Saya katakan, saya amat kagum bagaimana Malaysia mengendalikan COVID-19 apabila terus melaksanakan tindakan, menguatkuasakan PKP, memastikan orang ramai tidak membuat pergerakan dan hanya boleh keluar untuk membeli makanan dan barangan keperluan,” katanya.

Cronian juga mengakui tidak bagus untuk melihat imej sesetengah kawasan kejiranan dikelilingi dawai berduri tetapi ia perlu dilakukan, kerana Malaysia mempunyai kepimpinan yang baik dan Kementerian Kesihatan telah mengendalikan masalah itu dengan sangat baik.

Beliau berkata dia tidak memberi tumpuan dari sudut politik atau agama tetapi berfikiran positif dan merasakan apa yang dilakukan oleh Malaysia, adalah model yang harus diikuti seluruh dunia.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker