Keluarga Adib masih tunggu pembelaan, sampai sekarang belum ada tangkapan

Polis tidak berhubung untuk beri sebarang perkembangan terkini

ALOR SETAR, 10 Rabiulakhir 1442H, Khamis – Penantian keluarga anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim untuk mendapatkan pembelaan sewajarnya masih belum menemui jalan penyelesaian.

Sudah menunggu terlalu lama, Bapa Allahyarham Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid, 64, mengakui masih tidak berpuas hati dan kecewa apabila pihak bertanggungjawab tidak mengambil tindakan sewajarnya untuk membela kematian anaknya. 

“Sebelum ini, Mahkamah Koroner sudah putuskan kematian Adib akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu tidak dikenali.

“Mahkamah itu juga turut merumuskan kegagalan polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dalam mengawal rusuhan juga menyumbang kematian anak saya.

“Peguam keluarga saya sendiri sudah minta polis segerakan siasatan selanjutnya, sampai sekarang tak nampak apa-apa tangkapan lagi,” katanya.

Malangnya, sehingga kini tiada perkembangan lanjut yang dimaklumkan kepada keluarga Adib mengenai kes anaknya itu.

“Polis tidak berhubung dengan saya untuk memberitahu sebarang perkembangan terkini,” katanya.

Kesal dengan situasi ini, Mohd Kassim tidak pernah berhenti berharap suatu hari nanti kematian Adib terbela.

“Saya sentiasa berdoa penjenayah yang membunuh anak saya ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin.

“Saya tak pernah lupa menziarahi pusara Adib, selain berdoa dan membuat majlis tahlil,” katanya seperti dilapor BH Online.

Ogos lalu, Mohd Kassim pernah meluahkan kekecewaan dengan cadangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengadakan semula inkues kematian anggota bomba itu kerana sudah terlalu lama bersabar menunggu pembelaan terhadap arwah.

Katanya, cadangan itu hanya membuang masa, selain tidak menghormati keputusan Mahkamah Koroner Shah Alam pada 27 September tahun lalu yang memutuskan punca kematian Adib disebabkan perbuatan jenayah membabitkan dua atau lebih individu tidak dikenali.

Terdahulu, Pengerusi Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar pernah menyifatkan cadangan untuk membuka semula inkues nampak begitu janggal sekali. 

Katanya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sepatutnya memberi penjelasan berkenaan dapatan yang dibuat oleh Mahkamah Koroner kerana telah menemukan fakta bahawa Allahyarham Muhammad Adib meninggal dunia kerana perbuatan jenayah.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker