Polis Kedah rampas dadah 100 kilogram bernilai RM10 juta

Dua lelaki warga Thailand ditahan di kawasan Padang Sanai dekat sini semalam, ketika cuba membawa masuk dadah berasaskan heroin seberat lebih 100 kilogram bernilai kira-kira RM10 juta.

Menurut sumber, kedua-dua lelaki berusia lingkungan 30-an itu berasal dari Pattani, Thailand, dipercayai menjadi penghantar untuk membawa dadah berkenaan masuk ke negara ini.

“Mereka ditahan kira-kira jam 8 malam semalam, ketika memandu kenderaan jenis Proton Wira Aeroback dan membawa 100 kilogram dadah berkenaan.

“Suspek yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya ketika dihubungi.

Satu sidang media berkaitan operasi dan tangkapan dadah berkenaan akan diadakan Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap, esok.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata hasil tindakan pantas pihaknya mengerahkan pasukan operasi daripada pelbagai jabatan ke sempadan negara, polis merampas 100 kilogram heroin dianggarkan bernilai RM10 juta petang semalam.

Selain Unit Komando 69, polis juga mengerahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) serta Kenderaan Perisai tambahan ke kawasan sempadan Malaysia-Thailand, susulan serangan penyeludup terhadap anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) kelmarin.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker