Khaled Nordin dan Pemimpin UMNO yang lain perlu patuhi disiplin parti

UNDI NALURI PERNAH DAN BOLEH MEMBAWA KEPADA PEMECATAN

Agak mengejutkan bila membaca kenyataan media Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, hari ini yang menyebut “setiap Ahli Parlimen perlu diberi kebebasan dan ruang untuk membuat pilihan dan mengundi secara peribadi berdasar ‘conscience’ dalam menyokong, berkecuali atau menolak Belanjawan 2021”.

Berdasarkan sejarah, UMNO dan BN selama-lamanya mengamalkan sistem whip di dalam Parlimen, di mana Mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada 14 Mei 2020 telah sebulat suara melantik Pengerusi BN yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebagai Ketua Whip BN di Dewan Rakyat.

Berdasarkan amalan, Ahli-Ahli Parlimen BN dibenarkan untuk membahaskan apa-apa sahaja perkara yang berkait dengan pendirian dan kepentingan BN di dalam mesyuarat pre-council, tetapi sebaik sahaja keputusan telah diambil maka menjadi tanggungjawab Ketua Whip BN untuk memastikan setiap Ahli Parlimen BN mematuhinya.

Kegagalan mematuhi disiplin parti ini malah telah pernah mencatatkan sejarah besar dalam politik negara bilamana kegagalan Ahli-Ahli Parlimen PAS mematuhi arahan Ketua Whip BN untuk menyokong Rang Undang-Undang Kuasa-Kuasa Darurat (Kelantan) 1977 pada 8 November 1977 telah menjadi punca tersingkirnya PAS daripada BN.

Ini berlaku bila Mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada 5 Disember 1977 memutuskan bahawa “parti-parti anggota BN yang ahlinya didapati menentang arahan party whip mengenai sesuatu masalah yang dibentangkan di dalam Dewan Rakyat, Dewan Negara atau Dewan Negeri hendaklah mengambil tindakan disiplin dengan memecat mereka itu dari menjadi ahli-ahli partinya”.

Keputusan ini diambil oleh Mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada 5 Disember 1977 dengan menggunakan Fasal 14 Perlembagaan BN yang berbunyi: “Dewan Tertinggi mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan tatatertib, menggantung atau memecat mana-mana parti anggota yang melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kepentingan BN”.

Disebabkan kegagalan PAS memecat kesemua 11 Ahli Parlimennya yang menentang Rang Undang-Undang Kuasa-Kuasa Darurat (Kelantan) 1977, termasuk Presiden PAS, Tan Sri Mohd Asri Muda, maka berakhirlah penyatuan antara UMNO dan PAS yang bermula dari Kerajaan Campuran Perikatan-PAS pada 1 Januari 1973 dan dari BN pada 1 Jun 1974.

Begitu jugalah kisahnya dengan Timbalan Presiden PAS, Datuk Hasan Adli Arshad yang merupakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Wilayah Persekutuan, yang telah menyokong Rang Undang-Undang Kuasa-Kuasa Darurat (Kelantan) 1977 pada 8 November 1977 tidak sepertimana yang diarahkan oleh Ketua Whip PAS yang terpecat dari PAS kerananya.

Lebih dekat lagi ialah bila 2 Ahli Parlimen BN, Datuk Bung Moktar Radin dan Datuk Mohamed Aziz, menyokong usul pemimpin DAP, Lim Kit Siang, di dalam Parlimen pada 3 Oktober 2005 supaya Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz, dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan, ia mendapat reaksi tegas pemimpin BN.

Selain memberikan mereka amaran keras, Datuk Seri Mohd Najib Razak selaku Ketua Whip BN di Dewan Rakyat malah menyebut perlakuan Datuk Bung Moktar Radin dan Datuk Mohamed Aziz itu akan dibincangkan oleh Kabinet untuk tindakan selanjutnya kerana “dasar dan amalan kita, Ahli Parlimen BN tidak boleh sokong usul yang dibawa parti pembangkang”.

Kini, dalam isu sekarang:

(1) Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyatakan pada 12 Mei 2020: “Sekiranya terdapat usul tidak percaya di Parlimen, ketetapan dibuat supaya semua Ahli Parlimen BN akan mengundi secara en-bloc menyokong Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri”.

(2) Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Mohd Najib Razak, menyatakan pada 26 Oktober 2020: “Sebagai ahli parti kita berpegang kepada prinsip parti, UMNO tidak boleh berpecah, mesti bertindak secara en-bloc”.

(3) Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajsi Dusuki, menyatakan pada 24 September 2020: “Keputusan dan ketetapan kepimpinan tertinggi parti dalam Majlis Tertinggi yang dipengerusikan Presiden sendiri jelas: “Apa jua keputusan Ahli-Ahli Parlimen secara en-bloc dan sepakat secara kolektif”.”

Setelah berabad lamanya prinsip en-bloc khususnya di Parlimen diamalkan sehingga menyebabkan Ahli-Ahli Parlimen BN dari PAS diarahkan dipecat daripada parti kerana melanggar arahan Ketua Whip BN, dan sebenarnya masih lagi menjadi keputusan dan ketetapan rasmi parti, mengapa kini tiba-tiba timbul isu keperluan untuk membuat undi naluri (conscience vote)?

Kepada yang menjuarai isu undi naluri (conscience vote) ini, eloklah usahakan supaya dipinda terlebih dahulu Perkara 20.8 Perlembagaan UMNO yang memperuntukkan bahawa “Semua ahli UMNO hendaklah cintakan parti dan (a) Patuh kepada Perlembagaan ini dan Tataetika Ahli; (b) Mengikut perintah-perintah parti; dan (d) Patuh dan menghormati keputusan-keputusan parti.”

Dr. Kamarul Yusoff

Related Articles

One Comment

  1. Pengacau2 dan penghasut2 dlm UMNO adalah pemimpin2 yg telah kalah di PRU14 dulu dan mereka yg ada kes mahkhamah. Kenapa disimpan lagi orang2 begini dlm parti? Beri mereka amaran keras atau rujuk mereka ke Jawatankuasa Disiplin parti. Negara kini dlm kesusahan tapi mereka mengambil kesempatan menjadi pengkhianat kpd rakyat.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker